Rencana tentang Personaliti YB dato` Ir. Idris Haron

Seluar jeans julang nama

Oleh Misiah Taib

Berita Harian


Idris Haron

Idris jadi tempat rujukan jika pelajar kehilangan barang

BERGELAR anak yatim ketika berusia enam tahun, pernah dihalau dari rumah oleh bapa tirinya ketika berusia lapan tahun, pernah juga menoreh getah dan menjaja ciku, rambutan serta nangka, demi membantu datuk dan neneknya mencari wang belanja ketika di sekolah rendah. Bila melangkah ke sekolah menengah, dia mengambil upah mencuci kereta dan motosikal guru pada setiap hujung minggu demi menampung wang belanja persekolahan dengan kadar 50 sen setiap kenderaan yang dicuci.

Akhirnya kini, anak ketiga daripada empat beradik seibu sebapa dan anak kelima daripada enam beradik berlainan ibu ini, berjaya menjadi jurutera dan kini bergelar wakil rakyat.
Bagi Ahli Parlimen Tangga Batu, Datuk Idris Haron, 41, kepayahan hidup ketika kanak-kanak banyak mengajar beliau untuk hidup berdikari dan berusaha lebih gigih demi menjadi insan berjaya, seterusnya menebus kehidupan masa lalu yang penuh dengan keperitan.

Arwah bapanya, Haron Hashim, adalah penghulu bersara dan meninggal dunia pada 1972 ketika berusia 64 tahun. Ketika itu ibunya, Rokiah Hassan, yang juga isteri kedua, baru berusia 24 tahun. Arwah bapanya mempunyai dua anak lelaki dengan isteri pertama dan dengan Rokiah mempunyai

empat anak, Sabariah, Rashidah, Idris dan Rozana. Ibunya kahwin lain selepas itu dan mengikuti suami barunya pulang ke Belading, Tangkak.

Selepas itu kehidupannya mula berubah, sehinggalah dia empat beradik terpaksa menumpang di rumah datuk dan neneknya di Asahan, Jasin, selama enam bulan, sebelum diambil abangnya (berlainan ibu) untuk tinggal bersama. Abang keduanya itu, Ahmad Haron, bertugas sebagai guru besar, mempunyai lima anak dan turut menjaga seorang anak angkat bapanya.

Ini menyebabkan abangnya perlu menjaga 10 anak ketika itu termasuk Idris empat beradik. Dengan keluarga yang begitu besar, Idris dan sembilan anak yang dijaga abangnya, hanya mampu mendapat baju raya berselang tahun, itu pun hanya sehelai.

“Ketika di darjah tiga tak dapat baju raya, di darjah empat pula dapat sehelai, di darjah lima tak dapat dan darjah enam dapat semula sehelai. Ini kerana kami 10 orang perlu bergilir dapat baju raya. Makan minum kami juga dicatu bagi memastikan apa juga makanan yang ada diagihkan sama rata.

“Kasut sekolah pula dipakai sehingga betul-betul lusuh barulah diganti. Tapi saya bersyukur sangat-sangat kerana abang saya itulah saya mendapat pendidikan yang sempurna sehingga berjaya,”

kata Idris.

Ahmad dan isterinya, Ramlah Dahili, yang menjadi bapa serta ibu kepada Idris sejak di darjah tiga. Namun Ahmad meninggal dunia pada 1999 dan kini hanya tinggal Ramlah yang sudah berusia 75 tahun.

Kehidupan berpindah rendah daripada bapa kandung kepada bapa tiri seterusnya tinggal dengan datuk dan nenek sebelum diambil abangnya, menyebabkan Idris bertukar sekolah sebanyak empat kali ketika di sekolah rendah dari Sekolah Rendah Kerajaan (SRK) Simpang Bekoh ke SRK Belading,

seterusnya ke SRK Asahan dan SRK Kubu, sementara kedua-dua kakaknya pula terpaksa berhenti sekolah awal kerana himpitan hidup.

Selepas mendapat keputusan 4A 1B dalam Ujian Penilaian Darjah Lima, beliau dipilih ke Sekolah Menengah Sains Melaka dan ketika menduduki peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP) beliau

diumumkan pelajar terbaik sekolah itu dengan mendapat 7A dan 1C.

Sepanjang di SM Sains Melaka beliau mengambil upah mencuci kereta dan motosikal guru setiap hujung minggu untuk mencari wang saku.

“Saya juga mewakili negeri dalam sukan ragbi dan kriket ketika di sekolah menengah. Wang elaun RM7 sehari ketika mewakili negeri saya turut kumpul untuk belanja sekolah,” katanya.

Antara peristiwa yang tidak dapat dilupakannya ketika di sekolah menengah ialah apabila dia kehilangan satu-satunya seluar jeans yang dimilikinya yang dihadiahkan oleh kakaknya.

“Saya sedih sangat dan ketika itu saya di tingkatan tiga. Selepas seluar jeans saya hilang, saya solat hajat berharap sangat orang kembalikan seluar jeans itu. Alhamdulillah, seminggu selepas itu seluar jeans berkenaan dikembalikan kepada saya.

“Selepas kejadian itu setiap kali pelajar di SM Sains kehilangan barang, mereka akan cari saya dan saya akan bantu mereka cari barang yang hilang itu sampai dapat termasuk dengan menyoal siasat pelajar di situ,” katanya.

Bila memasuki tingkatan empat dan lima, kecenderungan Idris lebih kepada subjek Sains dan Matematik. Kecemerlangannya dalam semua subjek Matematik dan Sains, selain mendapat 15 Agregat dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menyebabkan dia mendapat tawaran melanjutkan pengajian ke Amerika Syarikat dengan biasiswa Lembaga Letrik Negara (LLN) dan akhirnya

mendapat Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik (Kuasa).

Apa yang pelik ialah beliau boleh mengubah cita-citanya dalam sekelip mata ketika ditemuduga untuk biasiswa LLN, hanya selepas mendengar soalan yang diajukan.

“Pada mulanya saya bercita-cita nak jadi juruterbang jet pejuang. Tapi ketika ditemuduga saya ditanya ‘Why must you pilot the plane if somebody else can pilot it for you’ (kenapa anda mahu jadi juruterbang jika orang lain boleh melakukannya untuk kamu), saya terus ubah cita-cita saya dan kata nak jadi jurutera pula,” katanya.

Selepas itu, beliau mendapat biasiswa LLN untuk melanjutkan pengajian ke Universiti Texas, Amerika Syarikat di bidang kejuruteraan elektrik. Sebagai persiapan beliau mengambil kursus bahasa Inggeris di Pusat Bahasa Institut Teknologi Mara (ITM) selama enam bulan dan pernah dilantik Presiden Majlis Perwakilan Pelajar Seksyen 17, Shah Alam.

Ketika di luar negara juga beliau aktif dalam persatuan pelajar Malaysia dan menjadi Pengerusi Persidangan Pelajar Malaysia sehingga mendapat ijazah pada 1989. Pada 1993 beliau mengikuti latihan intensif bahasa Jepun di ITM sebelum melanjutkan pengajian di bidang teknikal di Tokyo Kensyu Centre, Jepun.

Beliau mengikuti latihan di bawah Kandenko Corporation Ltd selama enam bulan di Tokyo, Jepun, dalam bidang sistem pembahagian elektrikal.

Selepas bekerja dengan LLN Kajang pada 1989, TNB Kajang, (1991), TNB Jasin (1998), TNB Melaka (1999), beliau dilantik sebagai Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah (2001) dan dipilih sebagai calon Parlimen Tangga Batu pada 2004.

Apapun, pembabitannya dalam politik bermula pada 1993 apabila beliau menjadi Ketua Pemuda Umno Klebang Kecil ketika berusia 28 tahun dan pada tahun sama juga beliau menubuhkan Gerakan Belia 4B Klebang Kecil.

Apa yang menarik ialah punca beliau menyertai politik bukan kerana diajak oleh mana-mana pemimpin, tetapi kerana merasakan dirinya terlalu banyak masa terluang pada hujung minggu.

“Saya bosan duduk rumah pada hujung minggu. Sebab itu saya mula berjinak-jinak dalam pertubuhan belia dan politik,” katanya.

Namun Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, selepas itu banyak memberi tunjuk ajar dan nasihat kepada beliau serta menjadi pendorong utama kepada kejayaannya hari ini.

Mengimbau pertemuan dengan isterinya, Fadilah pada 1993, beliau berkata segala-galanya bermula daripada sapaannya terhadap seorang anak gadis ketika duduk di serambi rumah seorang kawan.

“Saya selalu tengok Fadilah berjalan lalu dekat rumah berkenaan dan menyapanya serta mengajaknya keluar. Dia kata kena tanya emak dia kalau nak ajak keluar. Lima hari selepas itu, saya memberanikan diri pergi berjumpa mak dia dan saya keluar ‘date’ kali pertama dengan dia selepas mendapat kebenaran emaknya,” katanya.

Selain bersukan, hobi Idris ialah membaca buku dan beliau kini memiliki ratusan koleksi buku terutama buku politik dan pengurusan.

PROFIL

Datuk Idris bin Haron

Tarikh Lahir: 13 Mei 1966

Asal: Kampung Relau, Asahan, Jasin, Melaka.

Keluarga: Anak kelima daripada enam beradik

Jawatan: Ahli Parlimen Tangga Batu

Penolong Setiausaha Kelab Penyokong Kerajaan (BNBC)

Pengerusi Sekretariat Pembangunan Belia Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI)

Exco Pemuda Umno Malaysia

Ketua Pemuda Umno Bahagian Tangga Batu

Pengerusi Biro Antidadah dan Gejala Sosial Pemuda Umno Malaysia

Ketua Penerangan Badan Perhubungan Umno Melaka

Pengerusi Biro Agama Pemuda Umno Melaka

Naib Pengerusi Belia 4B Melaka

Pengerusi Belia 4B Tangga Batu

Penasihat Pengasih Melaka

Pengarah Akademi Kemahiran Melaka Sdn Bhd

AJK Penasihat Institut Kemahiran Belia Alor Gajah

Kerjaya: Jurutera Pengguna LLN Kajang (1989)

Jurutera Operasi TNB Kajang (1991)

Pengurus Struktur dan Perancangan TNB Kajang (1993)

Pengurus Operasi dan Senggaraaan TNB Jasin (1998)

Pengurus Bisnes Daerah TNB Distribution Sdn Bhd Melaka (1999)

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah

Anugerah dan Pengiktirafan: Tokoh Maal Hijrah Kategori Belia (2003)

Tokoh Belia Negeri Melaka 2003

Tokoh Belia Negara Peringkat Negeri Melaka Kategori Kepimpinan dan Keusahawanan 2003

Tokoh Belia Negara Kategori Kepimpinan 2003

Sijil Pengiktirafan Jurulatih Pengurusan Kualiti TNB Malaysia

Sijil Penghargaan Sumbang Tenaga oleh Perdana Menteri

Akreditasi Antarabangsa: Pernah mewakili NGO menyampaikan ceramah dan kertas kerja di persidangan antarabangsa termasuk di Filipina, Namibia, Jepun, Singapura, Indonesia, Thailand dan Turki .

Akademik : Sekolah Menengah Sains Muzafar Syah, Ayer Keroh (1979-1983);

Latihan Intensif Bahasa Inggeris Institut Teknologi Mara (1984)

Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik (Kuasa) Universiti Texas, AS (1989)

Association of Oversesas Technical Scholarships, Tokyo, Jepun (1993).

Isteri: Datin Fadilah Abdullah, 38.

Anak: Luqman Hakim, 14 dan Amira, 11.

About these ads

5 Responses

  1. Dari sejarah ini nampaknya laluan ke hadapan masih terbuka luas untuk maju dalam kerjaya pilihan ini.

    Semoga teruskan dengan baik, dengan kesedaran bahawa seseorang pemimpin ialah pengikut yang dilantik untuk memimpin.

    Pengalaman saya dengan Ketua Menteri Melaka, ada yang kurang manis.

    Semoga, anda ada manisnya…

  2. kisah hidup yg sangat mencabar,,saya sgt kagum dgn beliau,,,

  3. Salam Dato’,

    Saya kagum pemimpin kerajaan mempunyai latar belakang yang sangat berkualiti seperti Dato’, orang-orang macam inilah yang kita perlukan untuk memacu pembangunan negara, Dato’ mempunyai masa depan yang cerah untuk berjaya, harapan saya Dato’ mampu mengubah pemikiran orang melayu di kawasan Kg dan Dato’ senantiasa ingat pada Allah dan ingat dari mana asal kita, kerana semua ini hanya sementara sahaja.

    Wassalam.

  4. Salam,

    Saya sangat kagum membaca kisah hidup Dato’. Saya amat berharap apabila berkesempatan, Dato’ akan menulis buku mengenai sejarah hidup Dato’ kerana ia sangat penting sebagai panduan kepada generasi muda.

    Saya dimaklumkan Dato’ akan berada di US akhir bulan ini dan ingin mengadakan perjumpaan dengan Kelab UMNO New York-New Jersey. Tak sabar untuk berjumpa dengan ‘role model’ kami.

    Wassalam,
    Syafiq Nazri
    Pengerusi
    Kelab UMNO New York-New Jersey
    Sesi 2008

  5. Aslmkm Dato,

    Masih tidak terlambat untuk saya mengucapkan tahniah atas kejayaan Dato menduduki Ahli Majlis Tertinggi UMNO baru2 ini. Saya secara umumnya amat berbangga kerana ramai bos bos saya dahulu di TNB Kajang amat berjaya dalam karier. Tuan Hj Azman is now our VP. En Safwan just being promoted to GM at HR. Begitu juga sptPn Asma, En Hisham.

    Mungkin Dato telah lupa kepada saya, sebab saya hanya berkesempatan bersama dato dari tahun 1991 until I left kajang in 1995. Tapi pengalaman bekerja bersama dato mengemudi beberapa projek ie: QCS dan sebagainya banyak mengajar saya memebentuk diri sbg pemimpin masyarakat. Ilmu yang saya perolehi dari Dato dan Tn Hj Azman saya menafaatkan dalam aktiviti saya seharian. Walau tidak mampu meimpin dalam scala besar tapi tanggung jawab sebagai pemimpin persatuan penduduk membolehkan saya mengguna segala ilmu yang Dato telah ajarkan dahulu.
    Akhirkata semoga Dato terus berjaya dalam karier politik dato.

    p/s : Semangat Takruf yang Dato tekan kan semasa di TNB Kajang masih menjadi pegangan saya didalam kerja harian saya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: