Hak mahasiswa bersuara terjamin

Utusan Malaysia.

PUTRAJAYA 17 April – Hak asasi mahasiswa untuk menyuarakan isu-isu semasa dijamin menerusi penubuhan Jawatankuasa Kumpulan Kerja Kecil Pendidikan Hak Asasi Manusia yang diwujudkan Kementerian Pengajian Tinggi.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi 1, Datuk Ir. Idris Haron berkata, jawatankuasa itu berfungsi memastikan segala aktiviti mahasiswa tidak terpesong dari akta universiti dan melepasi batasan hak asasi orang lain.

“Walaupun dibenarkan bersuara namun mereka harus mengikut garis panduan yang ditetapkan.

“Sebagai contoh, kita membenarkan pelajar membuat demonstrasi secara aman untuk menyatakan hak mereka tetapi mereka perlu ada batasan tanpa mengganggu hak ketenteraman orang lain,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Seminar Hak Asasi Manusia dan Pengajian Tinggi di sini hari ini.

Turut hadir ialah Timbalan Pengerusi Suhakam, Tan Sri Panglima Simon Sipaun; Pesuruhjaya Suhakam, Tan Sri Asiah Abu Samah dan Pengerusi Kumpulan Kerja Kecil Pendidikan Hak Asasi Manusia untuk Institut Pengajian Tinggi (IPT), Muhammad Uthman El-Muhammady. Seminar sehari itu merupakan pertama kali dianjurkan oleh kementerian itu dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam).

Ia bertujuan memupuk kesedaran dalam kalangan warga kementerian dan IPT tentang hak asasi manusia mengenai pendidikan termasuk golongan kurang bernasib baik seperti orang kurang upaya dan golongan miskin tegar.

Antara pembentang kertas kerja ialah Pengerusi ISIS, Datuk Seri Mohamed Jawhar Hassan; Pesuruhjaya Suhakam, Prof. Emeritus Datuk Dr. Khoo Kay Kim serta Pensyarah Undang-undang Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Dr. Shad Saleem Faruqi.

Jawatankuasa yang ditubuhkan dengan kerjasama Suhakam itu turut bertindak meminda Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 yang akan dibawa ke Parlimen akhir tahun ini.

“Pindaan ini bertujuan memberi ruang kepada pelajar dan universiti lebih kebebasan setelah kajian awal mendapati beberapa peraturan dalam AUKU menyekat kreativiti pelajar dan pihak pengurusan universiti untuk mencapai tahap kecemerlangan di peringkat global.

“Bagaimanapun, pelajar universiti tidak dibenarkan sama sekali terlibat dalam politik tetapi diberi kelonggaran untuk melibatkan diri dalam pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sebagai satu sumbangan kepada masyarakat,” katanya.

Advertisements

Universiti teknikal perlu dapat makluman

Utusan Malaysia

MELAKA 23 April – Universiti-universiti teknikal diminta mendapatkan maklum balas daripada pihak majikan berhubung prestasi bekas graduan yang bekerja di pelbagai syarikat swasta.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Idris Haron berkata, maklum balas itu penting kepada pihak universiti menyediakan graduan yang dapat memenuhi kehendak pasaran.

Ini juga, kata beliau, bagi mengelakkan berlakunya pembaziran serta pengangguran di kalangan graduan.

”Ia umpama perkhidmatan selepas jualan. Selepas produk kita (graduan) memasuki pasaran pekerjaan, dapatkan maklum balas mereka sama ada apa yang dipelajari di universiti sesuai dengan pekerjaan mereka atau sebaliknya.

”Jika ada kelemahan, kita boleh memperbaikinya di peringkat universiti,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Forum Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia dengan Industri di sini hari ini.

Forum tersebut dianjurkan bersama oleh Universiti Teknikal Malaysia Melaka (Utem), Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Universiti Tun Hussein Onn (UTHO) dan Universiti Malaysia Pahang (UMP).

Katanya lagi, maklum balas itu juga boleh diperoleh daripada bekas graduan sendiri bagi memastikan apa yang dipelajari mereka di universiti dapat diterapkan dalam pekerjaan masing-masing.

Pada masa yang sama, beliau memberitahu, universiti berkenaan juga boleh membuat penambahbaikan pada silibus di universiti masing-masing sekiranya terdapat kelemahan-kelemahan sehingga menganggu pekerjaan mereka.

Sebagai contoh, Idris berkata, sektor industri sangat menekankan soal keselamatan dan sehubungan itu, pihak universiti perlulah menyediakan satu kursus berkaitan pengurusan keselamatan bagi memenuhi permintaan itu.

”Begitu juga dengan bahasa. Kalau pelabur-pelabur dari Jerman mahukan pekerja mereka mahir berbahasa Jerman, sediakan latihan bahasa itu di peringkat universiti dan ia boleh dibuat mengikut jumlah permintaan,” katanya.

Caj khidmat PTPTN dikaji semula

Utusan Malaysia

Oleh LUKMAN ISMAIL

MELAKA 23 April – Caj perkhidmatan sebanyak tiga peratus yang dikenakan ke atas para pelajar yang membuat pinjaman dengan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN) akan dikaji semula bagi memberikan keselesaan kepada peminjamnya.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Idris Haron berkata, caj perkhidmatan itu bukan faedah pinjaman seperti yang dikenakan institusi kewangan komersial.

“Ia hanyalah caj untuk pengurusan. Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin ada menyuarakan cadangan untuk mengkaji semula caj sebanyak tiga peratus ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Forum Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia Dengan Industri di sini hari ini.

Idris enggan mengulas sama ada caj tersebut akan dikurangkan atau dinaikkan. Bagaimanapun, beliau percaya sebarang keputusan kerajaan berhubung isu itu akan memberi keselesaan kepada peminjam PTPTN.

Bilangan peminjam PTPTN di seluruh Malaysia berjumlah 1.2 juta manakala dana yang terkumpul pada masa ini ialah RM23 bilion.

Isu caj PTPTN mula diperkatakan persatuan-persatuan pelajar sejak setahun lalu.

Menurut Idris, caj perkhidmatan dikenakan bagi memastikan perbadanan itu mempunyai wang yang mencukupi untuk menampung pinjaman pelajar lain pada masa depan.

“PTPTN sebenarnya tidak mempunyai sumber kewangan. Perbadanan itu mendapatkan wang daripada pembiaya dan pihak pembiaya telah mengenakan pelbagai caj kepada kerajaan termasuk caj kewangan.

“Tetapi semua caj tersebut ditanggung oleh kerajaan dan bukan dibebankan kepada peminjam. PTPTN hanya mengenakan caj tiga peratus bayaran untuk perkhidmatan dan caj itu bukan riba,” kata beliau.

Baru-baru beberapa peminjam PTPTN menyuarakan rasa tidak puas hati kerana perbadanan itu mengenakan caj sebanyak tiga peratus daripada jumlah pinjaman yang perlu dibayar semula selepas mereka tamat pengajian di universiti.

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) pula menuntut PTPTN mewujudkan panel syariah kerana terdapat dakwaan yang mengaitkan caj tersebut sebagai amalan riba yang bertentangan dengan Islam.

PTPTN ditubuhkan di bawah Akta Tabung Pendidikan Tinggi Nasional 1997 yang mula berkuat kuasa pada 1 Julai 1997. Perbadanan itu beroperasi sejak 1 November 1997.


Welcome to My Blog

People of Malaysia,

I welcome all constructive comments and feedbacks. You can write to me either in Bahasa or English. I would like to take this opportunity to thank the member of the public especially in Tangga Batu Melaka for giving me the support & trust in voicing out issues pertaining the interest of the constituency and the country. The 12th GE has been an eye opener to all, that the people & rakyat has the final say in determining the future of Melaka and the country. Lastly, I would also like to thank the public that have sent emails, comments, criticisms, support and advises to me – a third eye for me.