Muafakat selesai isu perguruan

Muafakat selesai isu perguruan

Oleh Syuhada Choo Abdullah dan Nurul Hazirah Md Sai’aan
bhnews@bharian.com.my


TELITI: Idris (kanan) dan Wee meneliti sijil Program Jaringan Sekolah-Sekolah Kluster Kementerian Pelajaran dengan Universiti-universiti Kementerian Pengajian Tinggi pada majlis pelancarannya di UPM, Serdang, semalam. – Foto Bernama

Dua kementerian perlu atasi beberapa masalah tarik minat jadi pendidik

SERDANG: Kementerian Pelajaran perlu bermuafakat dengan Kementerian Pengajian Tinggi bagi menyelesaikan beberapa isu berkaitan profesion perguruan, khususnya berhubung diskriminasi penempatan graduan institut pengajian tinggi awam (IPTA) dan institut pendidikan guru (IPG).

Ia berikutan graduan IPTA perlu melalui pelbagai prosedur Kementerian Pelajaran, termasuk syarat hanya mencapai purata nilai gred kumulatif (PNGK) 2.75 ke atas layak mengambil ujian dan ditemu duga menjadi guru, berbanding lepasan IPG yang ditempatkan terus ke sekolah.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata masalah itu mengakibatkan kemerosotan minat bakal pemohon dan pelajar program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) di IPTA untuk menjadi guru.

Apatah lagi, beliau berkata, Kementerian Pelajaran menetapkan syarat pelajar yang mendapat PNGK bawah 2.75 tidak layak atau sesuai menjadi guru sedangkan mereka memenuhi syarat sebagai graduan IPTA.

“Pada masa sama, calon guru lepasan IPTA masih dikehendaki menduduki Inventori Sahsiah Keguruan (Insak) dan temu duga walaupun sudah melepasi syarat kelayakan kemasukan seperti ditetapkan melalui ujian Inventori Pemilihan Pendidik Malaysia (MEdSI) serta temu duga khas.

“Kementerian Pengajian Tinggi, khususnya pensyarah IPTA berasakan proses pemilihan guru ini seolah-olah menafikan pendidikan dan latihan diberi mereka yang berpengalaman di Fakulti Pendidikan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Program Jaringan Sekolah Kluster-Universiti pada Seminar Permuafakatan Kementerian Pengajian Tinggi bersama Kementerian Pelajaran 2008 di Universiti Putra Malaysia di sini, semalam.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalannya, Datuk Idris Haron. Hadir sama, Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Wee Ka Siong, mewakili Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Selain itu, Mohamed Khaled berkata, dua kementerian terbabit juga perlu melihat semula isu ketidakseragaman dalam syarat asas kemasukan dan pembiayaan antara pelajar yang mengikuti ISMP di IPG dan IPTA.

Beliau berkata, satu lagi isu yang belum selesai ialah berkaitan kurikulum program perguruan dengan mengambil kira perlunya penguasaan subjek dan atribut ikhtisas yang hanya boleh dicapai melalui program ISMP, maka program ad hoc seperti Diploma Pendidikan semata-mata adalah tidak mencukupi walaupun dalam usaha mengatasi masalah kekurangan guru.

“Begitu juga isu membabitkan wakil Fakulti Pendidikan IPTA secara langsung dalam penentuan unjuran keperluan guru sekolah menengah. Ia kerana pada tahun sebelum ini, data pengiraan unjuran pengambilan pelajar kurang jelas, tidak meliputi keperluan guru untuk sekolah swasta serta tidak mengambil kira jumlah pelajar tidak memenuhi standard kualiti ditetapkan,” katanya.

Sementara itu, Wee pada sidang media selepas majlis pula berkata, semua isu berkenaan akan diteliti dan ditangani melalui permuafakatan jawatankuasa teknikal bersama kedua-dua kementerian terbabit.

Advertisements

Ali Rustam kekalkan jawatan

Ali Rustam kekalkan jawatan

Oleh Nasir Abd Wahab, Irwan Shafrizan Ismail dan Mohd Amin Jalil
bhnews@bharian.com.my

Ketua Umno Bahagian Bukit Katil menang tanpa bertanding

MELAKA: Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam mengekalkanjawatan Ketua Umno Bahagian Bukit Katil tanpa bertanding selepas 66 daripada 67 cawangan yang selesai bermesyuarat minggu lalu sepakat mencalonkan beliau mengetuai bahagian itu.

Beliau memimpin bahagian itu sejak 1986 yang dulu dikenali Batu Berendam, sebelum ditukar nama susulan persempadanan semula.
Setiausaha Kerja Badan Perhubungan Umno negeri, Datuk Hamzah Bajuri, berkata Bukit Baru Dalam yang menjadi cawangan terakhir bahagian itu belum mengadakan mesyuarat dan dijadual berbuat demikian pada 9 Ogos dijangka turut mencalonkan Mohd Ali.

Katanya, Exco kerajaan negeri, Datuk Mohd Yunos Husin pula menjadi Timbalan Ketua baru, selepas semua cawangan mencalonkan beliau seorang bagi jawatan berkenaan menggantikan bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Wira Mo’Min Abd Aziz yang mengundur diri.

Sebelum ini jawatan berkenaan turut diintai Ahli Parlimen Bukit Katil, Datuk Mat Sirat Abu dan Speaker DUN negeri, Datuk Othman Mohamad. Mohd Yunos sebelum ini adalah setiausaha bahagian itu.

Sementara itu, empat lagi jawatan utama turut dimenangi tanpa bertanding selepas hanya nama mereka dicalonkan bagi jawatan masing-masing. Mereka adalah Datuk Asa’ari Ibrahim bagi jawatan Naib Ketua, Datuk Hazizah Mohd Sultan (Ketua Wanita), Karim Yaakub (Ketua Pemuda) dan Azlinda Zubir (Ketua Puteri).

Sementara itu di NILAI, Exco Pemuda Umno, Datuk Dr Idris Haron menawarkan diri bertanding jawatan Ketua Umno Bahagian Tangga Batu berikutan keputusan penyandangnya, Datuk Yaacob Md Amin yang juga ahli Exco Kerajaan Melaka mengundur diri pada pemilihan, Oktober ini.

Beliau yang juga Naib Ketua bahagian dan Ahli Parlimen Tangga Batu berkata, keputusan itu dibuat untuk membawa perubahan kepada Umno bahagian berkenaan yang ditubuhkan enam tahun lalu.

“Saya yakin akan dapat sokongan padu ahli bahagian,” katanya, selepas merasmikan majlis penerangan dan penyampaian biasiswa Kolej Universiti Inti (IUC), di Putra Nilai, dekat sini, semalam.

Mengenai saranan bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali supaya Pas bekerjasama dengan Umno membentuk kerajaan negeri, Idris berkata, ia harapan besar supaya pentadbiran kerajaan Perak akan lebih baik serta tersusun.

“Kesediaan Tajol Rosli juga memberi ruang untuk perbincangan lebih lanjut di antara pucuk pimpinan kedua-dua parti,” katanya.

Di MARAN, penyandang Ketua Umno Bahagian Maran, Datuk Tan Mohd Aminuddin Ishak dijangka mengekalkan jawatan pada pemilihan kali ini, sekali gus menjadikannya antara pemimpin paling lama memegang jawatan berkenaan di Pahang.

Keputusan itu dicapai selepas Umno bahagian itu sepakat tidak mengadakan pertandingan semua jawatan di bahagian berkenaan.

Umum caj baru pinjaman PTPTN akhir bulan

Umum caj baru pinjaman PTPTN akhir bulan

NILAI: Kementerian Pengajian Tinggi masih meneliti kadar caj bersesuaian yang lebih rendah berbanding tiga peratus dikenakan ke atas pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang dijangka dapat dilaksanakan selewat-lewatnya akhir bulan depan.

Timbalan Menterinya, Datuk Idris Haron, berkata antara kadar diambil kira ialah serendah 1.5 hingga 2 peratus walaupun ada pihak menganggap kadar tiga peratus sedia ada sudah rendah.

“Kerajaan akan tetap mengurangkan kadar itu bagi meringankan beban rakyat terutama dalam situasi ekonomi meleset berikutan kenaikan harga bahan api sekarang… kadar baru akan diumumkan secepat mungkin atau selewat-lewatnya akhir bulan depan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Berita Harian selepas merasmikan majlis penerangan dan penyampaian biasiswa Kolej Universiti Inti (IUC), di Putra Nilai, dekat sini semalam yang turut dihadiri Presiden IUC, Prof Dr Lee Fah Onn.

PTPTN rombak bayar pinjaman

PTPTN rombak bayar pinjaman

BANGI: Jadual pemotongan semula wang pendahuluan awal memasuki institusi pengajian tinggi awam (IPTA) oleh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) akan distruktur semula.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Idris Haron, berkata sebelum ini pemotongan wang pendahuluan itu dibuat sebaik pelajar mendapat pinjaman pertama sehingga membebankan pelajar berikutan potongan sekali RM1,500 satu semester.

“Bayaran dicadangkan tiga kali iaitu RM500 sekali potongan,” katanya selepas Majlis Penutup Konvensyen Majlis Perwakilan Pelajar IPTA 2008 di Institut Latihan Keselamatan sosial KWSP semalam.

Dengar suara pelajar

Dengar suara pelajar

Oleh Mohamad Hussin
mohamad@hmetro.com.my

BANGI: “Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mesti dengar suara pelajar,” kata Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Idris Haron ketika mengulas beberapa cadangan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) yang tidak berpuas hati terhadap organisasi berkenaan.

Beliau berkata, PTPTN mesti mendengar rungutan dan masalah yang dikemukakan peminjam supaya organisasi itu lebih cekap dan relevan pada masa akan datang.

“PTPTN mesti mengenali siapakah pelanggan mereka?. Dalam konteks ini pelanggan PTPTN terdiri daripada pelajar institut pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta.

“Pelajar ini rasional dan mereka banyak cadangan. Sebenarnya, PTPTN diwujudkan supaya tidak menyusahkan pelajar,” katanya pada sidang media selepas majlis penutupan Konvensyen Majlis Perwakilan Pelajar IPTA 2008, di sini, semalam.

Iran Minta Kemasukan Pelajarnya Ke IPT Malaysia Dipermudah

08 Julai, 2008 19:58 PM

Iran Minta Kemasukan Pelajarnya Ke IPT Malaysia Dipermudah

KUALA LUMPUR, 8 Julai (Bernama) — Iran hari ini meminta kerajaan Malaysia memudahkan kemasukan pelajarnya yang ingin melanjutkan pelajaran di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di negara ini.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Idris Haron berkata antara permintaan itu ialah dengan membolehkan pelajar Iran yang ingin melanjutkan pengajian di IPT tempatan memindah jam kredit bagi subjek tertentu.

Beliau berkata perkara itu ditimbulkan oleh rakan sejawatannya dari Iran Dr Mollabashi di pejabat kementeriannya di bangunan Parlimen di sini.

Bercakap kepada pemberita selepas pertemuan itu, Idris berkata Mollabashi juga berharap tempoh pangajian bagi pelajar Iran yang mengikuti program Sarjana Muda, Sarjana dan Doktor Falsafah (Phd) dapat dipendekkan selaras dengan tempoh pengajian di negara itu.

“Semua perkara yang dibincangkan akan dirujuk kepada naib canselor IPT yang berkaitan,” katanya.

Mengenai pemindahan jam kredit bagi subjek tertentu, Idris mengakui ini menjadi masalah bagi pelajar luar negera yang ingin melanjutkan pelajaran di negara ini.

“Kita akan kaji dan menyemak semula bagi menyelaraskan pemindahan jam kredit bagi mata pelajaran tertentu. Kalau tidak diselesaikan ia pasti akan menjejaskan kualiti pembelajaran individu terbabit,” katanya. Idris berkata kini terdapat hampir 3,000 pelajar dari Iran yang menuntut dalam pelbagai bidang di IPT negara ini.

— BERNAMA

Kepimpinan Umno Sifatkan Peralihan Kuasa Baik Untuk Parti

Kepimpinan Umno Sifatkan Peralihan Kuasa Baik Untuk Parti

KUALA LUMPUR, 10 Julai (Bernama) — Pemimpin-pemimpin Umno menyifatkan pelan peralihan kuasa dalam Umno pada pertengahan 2010 mampu memulih serta mengukuhkan kestabilan parti dan juga politik tanahair.

Ketua Penerangan Umno Tan Sri Muhammad Muhamad Taib berkata keputusan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyerahkan jawatan Presiden parti kepada timbalannya Datuk Seri Najib Tun Razak, adalah mengikut tradisi parti dan diamalkan oleh pemimpin parti itu sejak dari era pemerintahan Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj.

Katanya sejarah sebelum ini memperlihatkan bagaimana perpecahan akan berlaku apabila terdapat pertandingan dalam parti sehingga ada yang bertindak keluar parti dan menubuhkan parti baru.

“Cara ini (peralihan kuasa) sebenarnya menyelamatkan Umno kerana dengan langkah ini, Umno mendapat satu perubahan secara total. Ini adalah langkah terbaik untuk memulihkan parti,” kata Menteri Kemajuan Luar Bandar itu.

Muhammad berkata bahagian penerangan Umno akan mengadakan misi penerangan secara berperingkat kepada semua bahagian untuk memperjelaskan kepada akar umbi berhubung pelan peralihan kuasa itu.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Datuk Seri Hishammuddin Hussein pula berkata kepastian mengenai tempoh peralihan kuasa itu akan memudahkan Umno serta Barisan Nasional (BN) mengotakan janji-janji pilihan raya.

“Apa yang diumumkan hari ini melegakan ramai dan bagi Pemuda, kami nak lihat ke depan, kami nak pastikan parti kuat, transformasi perubahan yang diperlukan, dan lebih penting lagi untuk mendekati rakyat dan menunaikan janji-janji semasa pilihan raya.

“Kami dalam Pemuda menyokong, dan sekarang Pemuda hendak melihat ke depan, nak buat kerja, nak rapatkan barisan, proses pemilihan berjalan dengan biasa dah diharapkan ia berjalan tanpa menjejaskan kestabilan, kekuatan dan keharmonian parti UMNO itu sendiri,” kata Menteri Pelajaran itu.

Semasa mengharapkan semua pihak menghormati persetujuan yang dicapai oleh Abdullah dan Najib, Ketua Wanita Umno Tan Sri Rafidah Aziz juga berharap kedua-dua pemimpin itu tidak ditandingi pada pemilihan parti.

“Anggota-anggota Umno perlu bersama-sama di semua peringkat bagi memastikan perpaduan diutamakan. Anggota Umno perlu mengelak apa-apa sengketa yang berpunca daripada pertandingan dan berpuak-puak dalam parti, perlu beri kedua-dua pemimpin ini sokongan penuh dalam menangani cabaran-cabaran yang dihadapi kesan daripada masalah-masalah ekonomi global,” katanya.

Naib Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin pula berkata keputusan yang dibuat hari ini ‘sedikit sebanyak’ dapat meredakan pergolakan politik negara di samping menstabilkan keadaan semasa agar pihak pembangkang tidak dapat mengambil kesempatan.

“Umno sentiasa ada tradisi yang baik. Dalam hal ini, ia dapat memberi gambaran yang jelas tentang masa depannya dan juga kepada satu peralihan kuasa yang tersusun pada masa akan datang.

“Tidak ada apa yang perlu disedihkan atau kecewa. Ini adalah sebahagian daripada keputusan parti, ia adalah sesuatu yang akan mengukuhkan parti,” katanya.

Anggota Majlis Tertinggi Datuk Ahmad Zahid Hamidi berkata kedua-dua pemimpin tertinggi Umno itu berjiwa besar kerana masing-masing sedia menyerah dan menerima peralihan kuasa pada masa yang ditetapkan.

“Presiden mempunyai jiwa yang besar dengan menyerahkan jawatan dalam tempoh tertentu dan Najib pun ada jiwa besar kerana sanggup tunggu 23 bulan dari sekarang untuk terima jawatan itu. Beliau sendiri meminta supaya tidak ada pencalonan dilakukan untuk jawatan Presiden dan Timbalan Presiden.

“Dalam situasi sekarang, Presiden akan serahkan parti dalam keadaan yang padu dan kompak supaya mudah untuk Datuk Seri Najib menjalankan tugas bila menghadapi pilihan raya umum akan datang,” kata Menteri Di Jabatan Perdana Menteri itu.

Ketua Umno Bahagian Bukit Mertajam Datuk Musa Sheikh Fadzir pula berkata pengumuman yang dibuat oleh Abdullah ini dapat menutup pelbagai spekulasi yang hangat diperkatakan sejak akhir-akhir ini.

“Kalau tak umum, macam-macamlah nanti orang bercakap. Terima kasih di atas pengorbanan yang sanggup dilakukan oleh Najib kerana menunggu pada masa tertentu. Saya berharap kestabilan politik akan berlaku dan berharap kedua-duanya bergabung untuk menjalankan tugas dengan baik,” katanya.

Exco Pemuda Umno Datuk Idris Haron berkata pengumuman itu menunjukkan sifat tidak mementingkan diri sendiri yang diamalkan kedua-dua pemimpin tertinggi UMNO itu.

“Inilah yang dikatakan ada satu kesefahaman yang tulen yang tidak palsu diantara presiden dan timbalan presiden kita dan saya percaya ini dapat menyatukan anggota UMNO untuk bergerak ke arah pilihan raya umum yang akan datang dengan sokongan padu kepada pemimpin,” katanya.

Ketua UMNO bahagian Batu Pahat Dr Mohd Puad Zarkashi berkata keputusan peralihan kuasa itu diharap dapat memulihkan keyakinan rakyat terhadap kepimpinan tertinggi parti dengan peranan lebih besar diberikan kepada Najib.