Sokong Hisham tanding Naib Presiden

Sokong Hisham tanding Naib Presiden

KUALA LUMPUR 12 Sept. – Exco dan Ketua Pemuda negeri terus menyatakan sokongan kepada Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein untuk bertanding jawatan Naib Presiden UMNO pada pemilihan parti Disember ini.

Ketua Pemuda UMNO Perak, Zainol Padzi Paharudin berkata, kehadiran Hishammuddin dalam barisan pemimpin kanan UMNO akan memastikan kesinambungan suara dan generasi muda dalam UMNO.

”Tambahan pula beliau sudah membuktikan kepimpinan dan keupayaan sebagai pemimpin yang memenuhi aspirasi rakyat dan keperluan nasional sepanjang memimpin Pemuda UMNO,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Pada 21 April lalu, Hishammuddin mengumumkan sedia mempertimbangkan untuk bertanding jawatan Naib Presiden pada pemilihan UMNO penghujung tahun ini jika mendapat pencalonan daripada bahagian-bahagian parti itu.

Semalam, Naib Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin menyatakan sokongan supaya Hishammuddin bertanding jawatan Naib Presiden UMNO selepas memimpin Pemuda UMNO selama 10 tahun.

Ketua Pemuda UMNO Melaka, Ashakari Abu Nor berkata, Hishammuddin adalah calon yang layak untuk menjadi menyambung hubungan, perjuangan dan suara hati generasi baru dan generasi lama.

”Pemuda UMNO Melaka yakin beliau mampu bekerja kuat, memikul tugas melaksanakan amanah bertepatan dengan senario politik semasa.

”Beliau mempunyai kekentalan jati diri pemimpin nasional yang berupaya mempertahan dan memacu negara sesuai dengan kehendak bangsa dan agama,” katanya.

Sementara itu Exco Pemuda UMNO, Datuk Idris Haron berkata, UMNO perlu menyuntik dan mengalirkan darah orang muda ke dalam parti itu.

”UMNO perlukan orang muda dalam barisan utama kepimpinannya. Oleh itu, satu-satunya pemimpin muda yang sudah dicanai dan melalui sistem Pemuda UMNO ialah Hishammuddin,” katanya.

Advertisements

Pemuda UMNO Pagoh bidas Idris

Pemuda UMNO Pagoh bidas Idris

MUAR 17 Sept. – Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pagoh kesal dengan kenyataan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Idris Haron yang menuduh Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin cuba meraih populariti apabila meminta peralihan kuasa pucuk pimpinan negara dipercepatkan.

Ketuanya, Hatta Mohd. berkata, kenyataan Idris itu itu dianggap sebagai tidak matang kerana beliau baru setahun jagung dalam politik tetapi bertindak seolah-olah menjadi jaguh dalam mempertahankan isu peralihan kuasa itu.

Menurutnya, Idris sepatutnya memahami kehendak akar umbi dan perlu sedar bahawa ahli Pergerakan Pemuda termasuk Pagoh yang memastikan beliau mendapat tempat sebagai Exco Pergerakan Pemuda UMNO.

“Kami kesal dengan kenyataan Idris itu dan dia seharusnya memahami kenyataan Muhyiddin yang juga Ketua UMNO Bahagian Pagoh amat jelas dan mahukan parti terus kuat serta ikhlas dalam perjuangan memartabatkan bangsa,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau yang juga Bendahari Pergerakan Pemuda UMNO Johor mengulas kenyataan Idris yang disiarkan dalam Utusan Malaysia pada Sabtu lalu bahawa langkah Muhyiddin menggesa Perdana Menteri supaya memikirkan semula tarikh peralihan kuasa kepada timbalannya sebagai tindakan untuk meraih populariti.

Idris berkata, Muhyiddin cuba menunjukkan beliau tidak mahu dikaitkan dengan pucuk kepimpinan tertinggi dengan mengharapkan dapat meraih sokongan daripada peringkat bawahan.

Muhyiddin sebelum ini dilaporkan menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi memikirkan semula tarikh peralihan kuasa kepada timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak yang dijadualkan pada 2010 kerana tempoh tersebut dianggap terlalu lama.

Cuba raih populariti

 

Cuba raih populariti

MELAKA 12 Sept. – Langkah Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi supaya memikirkan semula tarikh peralihan kuasa kepada timbalannya dianggap sebagai tindakan untuk meraih populariti.

Exco Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Idris Haron berkata, Naib Presiden UMNO itu cuba menunjukkan beliau tidak mahu dikaitkan dengan pucuk kepimpinan tertinggi dengan mengharapkan dapat meraih sokongan daripada peringkat bawahan.

”Mereka mahu menunjukkan konon sesiapa yang dikaitkan dengan pucuk pimpinan hari ini, mereka akan kurang mendapat undi (perwakilan pada Pemilihan Agung UMNO).

”Oleh sebab itulah ada antara mereka cuba mengambil kesempatan untuk meraih sokongan dengan menunjukkan mereka tidak dikaitkan dengan kepimpinan hari ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian antara Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dengan tiga syarikat di kampus industri UTeM di sini hari ini.

Idris yang juga Timbalan Menteri Pengajian Tinggi berkata, soal tarikh peralihan kuasa tidak sepatutnya dipersoalkan lagi memandangkan keputusan mengenainya dibuat antara Abdullah dan timbalannya, Datuk Seri Mohd. Najib Razak selepas mengambil kira semua aspek termasuk persetujuan MT.

”Seharusnya keputusan yang dibuat itu diterima oleh semua pihak termasuk ahli MT dengan lapang dada dan bukan mempersoalkannya selepas memberi persetujuan sebelum ini,” katanya.

Sementara itu, beliau juga berharap UMNO tidak mengikut rentak tarian yang dimainkan oleh Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana ia bukan sahaja membuang masa, tetapi juga menjejaskan tugas-tugas mentadbir negara.

”Kita duduk jaga pembangkang, takut Ahli Parlimen lompat parti, tetapi kementerian bertaburan, tugas untuk rakyat terjejas. Inilah yang diinginkan oleh Anwar supaya negara jadi huru-hara,” katanya.

Ibrahim akur arahan

Ibrahim akur arahan

KUALA LUMPUR 20 Ogos – Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Datuk Seri Ibrahim Abu Shah akur dengan arahan Kementerian Pengajian Tinggi untuk mengenakan tindakan disiplin terhadap pelajarnya.

Menurutnya, kementerian berhak berbuat demikian kerana pihak pentadbiran universiti tertakluk kepada Akta Universiti Kolej Universiti 1971 (AUKU) yang menghalang semua pelajar membuat sebarang demonstrasi.

”Saya terima sebarang tindakan yang akan dikenakan (kementerian). Buat sementara waktu ini terlalu awal hendak menentukan apa jenis tindakan (disiplin),” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau ditanya mengenai kenyataan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Idris Haron bahawa pelajar UiTM yang menyertai demonstrasi membantah cadangan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk membuka 10 peratus kouta kepada pelajar bukan bumiputera akan berdepan tindakan disiplin.

Siswa perlu seimbangkan akademik-kokurikulum

Siswa perlu seimbangkan akademik-kokurikulum

MELAKA 10 Ogos – Golongan mahasiswa diminta bijak mengimbangi penglibatan mereka dalam kegiatan akademik dan kokurikulum sekiranya ingin berjaya merebut peluang pekerjaan selepas tamat pengajian.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Idris Haron berkata, gabungan cemerlang dalam akademik dan kokurikulum merupakan kelebihan di pasaran pekerjaan pada masa ini.

Menurutnya, kemahiran dan kemampuan berdaya saing menjadi pilihan utama pihak majikan sebelum menawarkan pekerjaan kepada lepasan universiti.

”Justeru itu para mahasiswa harus serius mengambil bahagian dalam kegiatan (kokurikulum) yang dianjurkan bagi memupuk daya intelektual, mengasah kreativiti dan inovasi.

“Perlu diingatkan jika semata-mata cemerlang dalam akademik, ia tidak menjanjikan pekerjaan yang baik apabila tamat pengajian kelak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Makan Malam Mesra dan Penutup Karnival Sukan Harapan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) yang dihadiri lebih 500 pelajar pelbagai IPTS Zon Selatan di sini malam tadi.

Selain itu, Idris berkata, berdasarkan pemerhatian pihaknya, sebahagian besar kes kegagalan lepasan universiti mendapat pekerjaan disebabkan pelajar tidak aktif dalam kegiatan kokurikulum dan sukan bagi meluaskan pergaulan mereka.

Keadaan itu, katanya, menyebabkan pelajar tersebut kelihatan seperti ‘kaku’ semasa menghadiri temu duga pekerjaan yang diadakan oleh pihak majikan.

”Jika dilihat dengan pencapaian akademiknya, pelajar seperti ini amat cemerlang tetapi bila diuji pada tahap kemahiran dan keperluan insaniahnya, ia amat berkurangan sekali.

”Kita mahu para siswazah seimbang dalam pencapaian akademiknya dan kegiatan kokurikulum kerana kedua-dua aspek ini sama penting dan diperlukan dalam pasaran pekerjaan pada hari ini,” katanya.

Pada masa yang sama, Idris turut mengingatkan mahasiswa agar kembali kepada matlamat asal untuk mendapatkan segulung diploma atau ijazah dengan cemerlang demi memenuhi harapan tinggi ibu bapa dan keluarga.

Serentak itu, beliau menggesa mahasiswa agar menjauhi sebarang bentuk aktiviti yang boleh merosakkan maruah dan menyebabkan mereka mudah lalai serta dipengaruhi oleh pihak tertentu.

”Mereka yang dipilih mengikuti kursus dalam pelbagai fakulti bertanggungjawab untuk membentuk jati diri, berilmu dan berkebolehan untuk bersaing di peringkat global.

”Teras pembentukan generasi berwawasan dipengaruhi sikap semasa di kampus sama ada menjadi kelompok siswazah yang berketerampilan, cemerlang dalam akademik dan kokurikulum atau sebaliknya,” katanya.

Melaka pusat pengajian ilmu

Melaka pusat pengajian ilmu

MELAKA Melaka terus menjadi pusat menimba ilmu dalam bidang teknologi, perniagaan dan industri perkhidmatan dengan penubuhan sebuah lagi kolej komuniti di negeri ini.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Idris Haron berkata, kolej tersebut, Kolej Komuniti Tangga Batu, menjadi yang keenam dibina di negeri ini setelah kolej sama dibina di kawasan Parlimen Kota Melaka, Jasin, Masjid Tanah, Alor Gajah dan Bukit Katil.

“Kerajaan amat prihatin terhadap semua program yang disediakan di kolej ini agar ia benar-benar mencapai sasaran meningkatkan taraf hidup masyarakat luar bandar.

“Penubuhan kolej ini juga sekali gus menunjukkan kesungguhan yang tinggi untuk membasmi kemiskinan ke peringkat akar umbi dengan menyediakan pelbagai kursus tanpa prasyarat, asalkan ada minat dan kesungguhan,” katanya.

Idris yang juga merupakan Ahli Parlimen Tangga Batu berkata demikian pada sidang akhbar Program Warga Prihatin; Pembasmian Kemiskinan Melalui Pembelajaran Sepanjang Hayat dan Perasmian Kolej Komuniti Tangga Batu, Klebang di sini semalam.

Upacara perasmian kolej itu disempurnakan, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Jeanne Abdullah.

Turut hadir, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam dan Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Teknik dan Kolej Komuniti, Datuk Imran Idris.

Menurut Idris, Kolej Komuniti Tangga Batu dijangka akan memulakan pengambilan peserta program kursus jangka pendek pada Januari depan manakala pengkhususan jangka panjang dalam bidang rekreasi dan pelancongan akan bermula pada Julai.

“Setelah dibuka nanti, kita menjangkakan tempat ini akan menjadi tumpuan orang ramai apatah lagi setelah saya difahamkan kawasan tambak laut di hadapan kolej ini akan dibina kawasan pelancongan dan rekreasi.

“Kita sasarkan 250 pelajar sepenuh masa boleh mengikuti kursus tersebut dan mampu mencapai angka 5,000 lepasan pelajar dalam tempoh lima tahun akan datang,” katanya.

Tambahnya, pengambilan pelajar kolej tersebut terbuka tanpa mengira kawasan Parlimen yang mereka tinggal asalkan mempunyai minat yang mendalam dalam kursus yang ingin diceburi.

Idris dicabar bekas Exco, AJK bahagian

Idris dicabar bekas Exco, AJK bahagian

MELAKA 30 Julai – Ketua Pemuda UMNO Tangga Batu, Datuk Idris Haron yang diberi laluan oleh Ketua Bahagiannya, Datuk Yaakub Md. Amin untuk menggantikan beliau bakal ditentang oleh dua lagi calon lain.

Idris yang juga Timbalan Menteri Pengajian Tinggi akan dicabar oleh bekas Exco Kerajaan Negeri, Datuk Yassin Sarip dan Mat Jantan yang juga Ahli Jawatankuasa bahagian tersebut.

Keputusan Yaakub yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Sains dan Teknologi dan Sumber Manusia negeri itu untuk tidak bertanding telah membuka laluan kepada Yassin dan Mat untuk merebut jawatan tersebut.

Sehingga kini sebanyak 13 daripada 54 cawangan UMNO bahagian Tangga Batu telah mengadakan mesyuarat.

Yaakub, yang dipetik dari laporan sebuah akhbar berkata, beliau memberi laluan kepada Idris demi perpaduan Melayu dan perjuangan parti serta untuk menjaga kepentingan rakyat.

”Idris merupakan orang muda dan mempunyai banyak idea untuk terus memperkukuhkan parti dan perpaduan rakyat,” katanya yang telah memegang jawatan itu selama dua penggal.

Sementara itu, bagi jawatan Ketua Wanita dan Pemuda bahagian juga dikatakan berlaku perebutan di peringkat bahagian.

Penyandang Ketua Wanita, Nor Adibah Abdullah dikatakan dicabar oleh tokoh sejarah, Datuk Dr. Ramlah Abas manakala bagi jawatan Pemuda yang dikosongkan oleh Idris menyaksikan persaingan tiga penjuru.

Bagaimanapun, jawatan Ketua Puteri bahagian sehingga kini tiada pertandingan apabila penyandangnya Azlieza Azizan mendapat sokongan daripada kesemua cawangan yang telah bermesyuarat sehingga kini.