Melaka pusat pengajian ilmu

Melaka pusat pengajian ilmu

MELAKA Melaka terus menjadi pusat menimba ilmu dalam bidang teknologi, perniagaan dan industri perkhidmatan dengan penubuhan sebuah lagi kolej komuniti di negeri ini.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Idris Haron berkata, kolej tersebut, Kolej Komuniti Tangga Batu, menjadi yang keenam dibina di negeri ini setelah kolej sama dibina di kawasan Parlimen Kota Melaka, Jasin, Masjid Tanah, Alor Gajah dan Bukit Katil.

“Kerajaan amat prihatin terhadap semua program yang disediakan di kolej ini agar ia benar-benar mencapai sasaran meningkatkan taraf hidup masyarakat luar bandar.

“Penubuhan kolej ini juga sekali gus menunjukkan kesungguhan yang tinggi untuk membasmi kemiskinan ke peringkat akar umbi dengan menyediakan pelbagai kursus tanpa prasyarat, asalkan ada minat dan kesungguhan,” katanya.

Idris yang juga merupakan Ahli Parlimen Tangga Batu berkata demikian pada sidang akhbar Program Warga Prihatin; Pembasmian Kemiskinan Melalui Pembelajaran Sepanjang Hayat dan Perasmian Kolej Komuniti Tangga Batu, Klebang di sini semalam.

Upacara perasmian kolej itu disempurnakan, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Jeanne Abdullah.

Turut hadir, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam dan Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Teknik dan Kolej Komuniti, Datuk Imran Idris.

Menurut Idris, Kolej Komuniti Tangga Batu dijangka akan memulakan pengambilan peserta program kursus jangka pendek pada Januari depan manakala pengkhususan jangka panjang dalam bidang rekreasi dan pelancongan akan bermula pada Julai.

“Setelah dibuka nanti, kita menjangkakan tempat ini akan menjadi tumpuan orang ramai apatah lagi setelah saya difahamkan kawasan tambak laut di hadapan kolej ini akan dibina kawasan pelancongan dan rekreasi.

“Kita sasarkan 250 pelajar sepenuh masa boleh mengikuti kursus tersebut dan mampu mencapai angka 5,000 lepasan pelajar dalam tempoh lima tahun akan datang,” katanya.

Tambahnya, pengambilan pelajar kolej tersebut terbuka tanpa mengira kawasan Parlimen yang mereka tinggal asalkan mempunyai minat yang mendalam dalam kursus yang ingin diceburi.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: