Siswa perlu seimbangkan akademik-kokurikulum

Siswa perlu seimbangkan akademik-kokurikulum

MELAKA 10 Ogos – Golongan mahasiswa diminta bijak mengimbangi penglibatan mereka dalam kegiatan akademik dan kokurikulum sekiranya ingin berjaya merebut peluang pekerjaan selepas tamat pengajian.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Idris Haron berkata, gabungan cemerlang dalam akademik dan kokurikulum merupakan kelebihan di pasaran pekerjaan pada masa ini.

Menurutnya, kemahiran dan kemampuan berdaya saing menjadi pilihan utama pihak majikan sebelum menawarkan pekerjaan kepada lepasan universiti.

”Justeru itu para mahasiswa harus serius mengambil bahagian dalam kegiatan (kokurikulum) yang dianjurkan bagi memupuk daya intelektual, mengasah kreativiti dan inovasi.

“Perlu diingatkan jika semata-mata cemerlang dalam akademik, ia tidak menjanjikan pekerjaan yang baik apabila tamat pengajian kelak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Makan Malam Mesra dan Penutup Karnival Sukan Harapan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) yang dihadiri lebih 500 pelajar pelbagai IPTS Zon Selatan di sini malam tadi.

Selain itu, Idris berkata, berdasarkan pemerhatian pihaknya, sebahagian besar kes kegagalan lepasan universiti mendapat pekerjaan disebabkan pelajar tidak aktif dalam kegiatan kokurikulum dan sukan bagi meluaskan pergaulan mereka.

Keadaan itu, katanya, menyebabkan pelajar tersebut kelihatan seperti ‘kaku’ semasa menghadiri temu duga pekerjaan yang diadakan oleh pihak majikan.

”Jika dilihat dengan pencapaian akademiknya, pelajar seperti ini amat cemerlang tetapi bila diuji pada tahap kemahiran dan keperluan insaniahnya, ia amat berkurangan sekali.

”Kita mahu para siswazah seimbang dalam pencapaian akademiknya dan kegiatan kokurikulum kerana kedua-dua aspek ini sama penting dan diperlukan dalam pasaran pekerjaan pada hari ini,” katanya.

Pada masa yang sama, Idris turut mengingatkan mahasiswa agar kembali kepada matlamat asal untuk mendapatkan segulung diploma atau ijazah dengan cemerlang demi memenuhi harapan tinggi ibu bapa dan keluarga.

Serentak itu, beliau menggesa mahasiswa agar menjauhi sebarang bentuk aktiviti yang boleh merosakkan maruah dan menyebabkan mereka mudah lalai serta dipengaruhi oleh pihak tertentu.

”Mereka yang dipilih mengikuti kursus dalam pelbagai fakulti bertanggungjawab untuk membentuk jati diri, berilmu dan berkebolehan untuk bersaing di peringkat global.

”Teras pembentukan generasi berwawasan dipengaruhi sikap semasa di kampus sama ada menjadi kelompok siswazah yang berketerampilan, cemerlang dalam akademik dan kokurikulum atau sebaliknya,” katanya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: