MPP harus wakili suara pelajar

Harus wakili suara pelajar – Idris

KUALA LUMPUR 17 Okt. – Perwakilan Pelajar sesebuah institusi pengajian tinggi yang dipilih menerusi pilihan raya kampus hendaklah mewakili kepentingan pelajar universiti berkenaan dan tidak seharusnya memperjuangkan agenda sesebuah parti politik, kata Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Idris Haron.

Justeru itu, katanya, tidak timbul soal pelabelan perwakilan sebagai yang proaspirasi atau prosiswa.

“Perwakilan itu mesti mewakili kepentingan pelajar, bukan mana-mana parti poltik, perwakilan yang dipilih pelajar itu juga tidak seharusnya memperjuangkan agenda politik semata-mata sebaliknya memperjuangkan apa yang disuarakan oleh pelajar, ” katanya ketika diminta mengulas mengenai pilihan raya kampus yang akan bermula tidak lama lagi.

Idris berkata, pihak kerajaan akan menerima sesiapa sahaja wakil kepada pelajar yang mewakili suara pelajar dan bukan suara pelajar yang mewakili mana-mana parti politik di negara ini.

“Tiada proaspirasi dan pro siswa. Kementerian akan mendengar dan mengiktiraf suara semua perwakilan yang mewakili pelajar dan bukan perwakilan yang mewakili parti-parti politik termasuk UMNO,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Perhimpunan Penuntut Universiti Antarabangsa 2008 di Universiti Malaya di sini hari ini.

Beliau juga mahukan pemimpin pelajar universiti supaya menyumbang tenaga dan idea kepada perkara peringkat global atau antarabangsa daripada hanya memikirkan perkara bersifat tempatan.

Katanya, pemimpin pelajar harus menggunakan paltform perwakilan itu sebagai medan untuk menyertai acara-acara antarabangsa.

“Pemimpin pelajar perlu menyokong kepada perkara-perkara keamanan sejagat yang lebih memberi manfaat besar berbanding daripada hanya asyik memikirkan perkara-perkara kecil,” katanya.

Justeru itu, beliau meminta para pelajar IPT lebih berfikir mengenai perkara sejagat daripada hanya berfikir tentang perkara kecil yang tidak memberi sebarang kebaikan kepada mereka.

Seramai 300 pelajar IPT termasuk dari Thailand, Kemboja, Singapura dan Laos menghadiri perhimpunan itu.

28 calon sudah layak tanding MT UMNO

28 calon sudah layak tanding MT UMNO

KUALA LUMPUR 13 Okt. – Sebanyak 28 calon yang menawarkan diri untuk jawatan ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO layak bertanding selepas berjaya memperoleh kuota pencalonan yang ditetapkan dengan didahului oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman.

Selepas 28 daripada 191 bahagian UMNO selesai bermesyuarat semalam, sebanyak 95 calon telah dicalonkan oleh para perwakilan bahagian-bahagian UMNO untuk bertanding pemilihan ahli MT.

Musa mendahului senarai calon ahli MT yang melepasi kuota kelayakan 10 pencalonan apabila menerima 26 pencalonan daripada UMNO bahagian yang bersidang pada Jumaat, Sabtu dan Ahad lalu.

Sebanyak 22 pencalonan diterima Musa daripada bahagian-bahagian di Semenanjung manakala empat lagi dari Sabah iaitu Kimanis, Kota Kinabalu, Semporna dan Kalabakan.

Mengekori rapat ialah Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mustapa Mohamed dengan 25 pencalonan; Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr. Latif Ahmad (24); Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman (23) dan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Noh Omar (23).

Turut mencuri perhatian ialah kemunculan ‘muka baru’ iaitu Senator Datuk Azian Osman yang menerima 21 pencalonan bersama-sama Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob dan bekas Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Zainal Abidin Osman.

Selain Azian, turut membuat kejutan apabila melepasi kuota kelayakan dengan mudah ialah Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Tajuddin Abd. Rahman yang mendapat 20 pencalonan; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor, Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir (17); Ahli Parlimen Batu Pahat, Dr. Mohd. Puad Zarkashi (15) dan Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Syed Ali Alhabshee (12).

Beberapa Menteri Kabinet juga telah melayakkan diri, antaranya Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Samad yang mendapat 20 pencalonan; Menteri Kerja Raya, Datuk Ir. Mohd. Zin Mohamed (17) dan Menteri Pelancongan, Datuk Azalina Othman Said (15).

Tiga timbalan menteri juga telah melepasi kuota kelayakan iaitu Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Idris Haron yang mendapat 14 pencalonan; Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Saifuddin Abdullah (12) dan Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Noraini Ahmad (10).

Sehingga hari ini, sebanyak 28 UMNO bahagian telah bermesyuarat manakala bakinya sebanyak 163 bahagian lagi akan bersidang secara berperingkat-peringkat sehingga 9 November depan.

Lima umum tanding MT

Lima umum tanding MT

KUALA LUMPUR 7 Okt. – Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin menawarkan diri untuk bertanding jawatan ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO pada pemilihan parti Mac tahun depan.

Menurutnya, beliau berbuat demikian setelah menilai kemampuan dan ‘mengukur baju di badan sendiri.’

‘‘Saya perlu ‘mengukur baju di badan sendiri’ sebelum menawarkan diri untuk bertanding mana-mana jawatan dalam UMNO.

‘‘Saya tahu setakat mana kemampuan diri saya, sebab itu saya menawarkan diri untuk bertanding jawatan ahli MT,’’ katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berharap rakan-rakan seperjuangan di peringkat bahagian dapat mencalonkan dirinya dan sekali gus membolehkan beliau bertanding sebagai ahli MT.

Beliau yakin dapat memberikan sumbangan bagi membantu parti khususnya dalam keadaan UMNO menghadapi pelbagai cabaran.

Katanya lagi, perkembangan terkini politik negara menjadikan pemilihan UMNO kali ini agak terbuka dengan memberi ruang kepada ramai calon untuk bertanding.

‘‘Kita sebagai pendokong dasar negara, tidak boleh melarang ahli untuk bersikap lebih terbuka dan mengambil bahagian dalam pemilihan parti. Saya yakin ahli-ahli bijak menilai mana yang elok dan tidak elok,’’ tegasnya.

Di MELAKA, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Idris Haron turut menawarkan diri untuk ber tanding kerusi MT UMNO.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Tangga Batu dan ketua bahagian tersebut mempertaruhkan pengalamannya selama 16 tahun dalam politik dan kepimpinan belia sebagai kelayakan untuk bertanding jawa tan tersebut.

‘‘Saya dengan rasa penuh komited dan bertanggungjawab ingin menawarkan diri bertanding jawatan dalam MT pada pemilihan akan datang,” katanya di sini hari ini.

Sementara itu di PULAU PINANG, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, beliau sedia bertanding jawatan MT sekiranya mendapat pencalonan.

Menyerahkan

Beliau yang juga Ahli Parlimen Temerloh bagaimanapun menyerahkan sepenuhnya kepada ahli parti untuk membuat pencalonan.

Sehingga hari ini, Saifuddin berkata, beliau telah didatangi rakan-rakan daripada beberapa bahagian sama ada di Pahang atau negeri lain yang bertanya dan inginkan beliau bertanding jawatan itu.

‘‘Saya kata perkara ini (tanding MT) amat besar, ini juga pertama kali saya jadi anggota Parlimen dan dilantik menjadi timbalan menteri.

‘‘Tetapi sekiranya mereka rasa saya layak dan mencalonkan saya, saya akan pertimbangkan untuk bertanding jawatan itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Di LUMUT, Ketua UMNO Bahagian itu, Datuk Dr. Zambry Abd. Kadir juga bersedia dicalonkan untuk merebut kerusi MT pada pemilihan parti tahun depan.

Menurutnya, beliau terpanggil untuk bersama-sama dalam proses pemulihan dan pengukuhan semula UMNO yang dilihat mengalami sedikit ‘gangguan’ selepas pilihan raya umum lalu.

‘‘Saya telah mengadakan perbincangan dengan rakan-rakan sebelum mengambil keputusan ini. Saya juga merasakan ini masa paling sesuai untuk mengembalikan kekuatan sebenar parti,” katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.

Jelasnya, pengalaman dan sumbangan di belakang tabir dalam menggerakkan parti selama ini menjadi bekalan penting untuk menghadapi pertandingan kelak.

Tambahnya, keputusan itu juga diambil selepas memikirkan UMNO kini perlu melakukan sedikit perubahan berikutan pertambahan penglibatan dan minat generasi muda di dalam politik negara.

‘‘UMNO perlu sentiasa relevan pada mana-mana zaman sekali pun. Pemimpin MT juga perlu sentiasa relevan dengan semua ahli UMNO,” katanya.

Di KOTA KINABALU pula, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Masidi Manjun turut berminat merebut salah satu jawatan MT.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Ranau bagaimanapun berkata, ia bergantung kepada pencalonan daripada bahagian-bahagian lain.

‘‘Saya ada menerima banyak panggilan daripada rakan-rakan di Semenanjung yang bertanya sama ada berminat atau tidak bertanding jawatan MT.

‘‘Saya akan menimbangkannya bergantung kepada jumlah pencalonan yang akan diperoleh,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan Kejohanan Ragbi Borneo kali kelapan di sini hari ini.

Masidi yang juga Penolong Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Sabah berkata, tawaran itu bukan bermakna beliau mengejar jawatan tetapi lebih kepada untuk membantu memperkuatkan lagi parti.