28 calon sudah layak tanding MT UMNO

28 calon sudah layak tanding MT UMNO

KUALA LUMPUR 13 Okt. – Sebanyak 28 calon yang menawarkan diri untuk jawatan ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO layak bertanding selepas berjaya memperoleh kuota pencalonan yang ditetapkan dengan didahului oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman.

Selepas 28 daripada 191 bahagian UMNO selesai bermesyuarat semalam, sebanyak 95 calon telah dicalonkan oleh para perwakilan bahagian-bahagian UMNO untuk bertanding pemilihan ahli MT.

Musa mendahului senarai calon ahli MT yang melepasi kuota kelayakan 10 pencalonan apabila menerima 26 pencalonan daripada UMNO bahagian yang bersidang pada Jumaat, Sabtu dan Ahad lalu.

Sebanyak 22 pencalonan diterima Musa daripada bahagian-bahagian di Semenanjung manakala empat lagi dari Sabah iaitu Kimanis, Kota Kinabalu, Semporna dan Kalabakan.

Mengekori rapat ialah Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mustapa Mohamed dengan 25 pencalonan; Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr. Latif Ahmad (24); Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman (23) dan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Noh Omar (23).

Turut mencuri perhatian ialah kemunculan ‘muka baru’ iaitu Senator Datuk Azian Osman yang menerima 21 pencalonan bersama-sama Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob dan bekas Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Zainal Abidin Osman.

Selain Azian, turut membuat kejutan apabila melepasi kuota kelayakan dengan mudah ialah Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Tajuddin Abd. Rahman yang mendapat 20 pencalonan; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor, Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir (17); Ahli Parlimen Batu Pahat, Dr. Mohd. Puad Zarkashi (15) dan Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Syed Ali Alhabshee (12).

Beberapa Menteri Kabinet juga telah melayakkan diri, antaranya Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Samad yang mendapat 20 pencalonan; Menteri Kerja Raya, Datuk Ir. Mohd. Zin Mohamed (17) dan Menteri Pelancongan, Datuk Azalina Othman Said (15).

Tiga timbalan menteri juga telah melepasi kuota kelayakan iaitu Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Idris Haron yang mendapat 14 pencalonan; Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Saifuddin Abdullah (12) dan Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Noraini Ahmad (10).

Sehingga hari ini, sebanyak 28 UMNO bahagian telah bermesyuarat manakala bakinya sebanyak 163 bahagian lagi akan bersidang secara berperingkat-peringkat sehingga 9 November depan.