Naib Canselor UM tidak dihina

Idris nafi hina bekas Naib Canselor UM

PUTRAJAYA: Kementerian Pengajian Tinggi tidak bimbang dengan tindakan bekas Naib Canselor Universiti Malaya (UM), Datuk Rafiah Salim yang mendakwa berlaku campur tangan politik berkaitan pelantikan Naib Canselor Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

Timbalan Menterinya, Datuk Idris Haron, berkata sesiapa saja boleh menulis buku untuk tujuan tertentu termasuk meluahkan perasaan.

“Kita tidak boleh kawal keputusan beliau untuk menulis buku. Banyak buku yang sudah diterbitkan tetapi soalnya sama ada pembaca membeli buku kerana penulis atau kandungannya.
“Sebagai penjawat awam, saya berasa tidak ada yang perlu dikhuatirkan kerana setiap keputusan yang dibuat kementerian mengikut prosedur dan telus,” katanya pada sidang media selepas menutup Seminar Perbandingan Perundangan Antarabangsa (ISCOM) di sini, semalam.

Beliau mengulas mengenai keputusan Rafiah yang mahu menerbitkan buku berkaitan dirinya sepanjang menjadi Naib Canselor UM selama dua setengah tahun dan mendedahkan campur tangan politik yang dikatakan menyebabkan kontrak beliau tidak disambung.

Idris juga menafikan dakwaan Rafiah bahawa wujudnya diskriminasi gender oleh kerajaan terhadap ahli akademik tempatan.

Malah, beliau turut menafikan mengeluarkan kenyataan yang mempunyai niat merendahkan kredibiliti bekas Naib Canselor UM di Dewan Rakyat, minggu lalu.

“Saya tidak nampak saya merendah-rendahkan atau menghina mana-mana pihak, tidak ada niat pun untuk merendahkan sesiapa,” katanya.

Sehubungan itu, beliau hanya menunggu keputusan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, sama ada dirinya akan dirujuk kepada Jawatankuasa Khas Parlimen, Selasa ini.

 

Advertisements

Rafiah dalam senarai calon dinilai semula

Rafiah dalam senarai calon dinilai semula

KUALA LUMPUR 13 Nov. – Bekas Naib Canselor Universiti Malaya (UM), Datuk Rafiah Salim  turut disenarai sebagai calon yang dinilai semula bagi mengisi jawatan tersebut selepas kontrak perkhidmatannya ditamatkan pada awal bulan ini.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Idris Haron berkata, ia adalah prosedur yang turut diambil kira oleh Jawatankuasa Pemilih Naib Canselor dan Timbalan Naib Canselor sesebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Katanya, kementerian itu juga tidak pernah mengamalkan diskriminasi jantina dalam memilih calon untuk mengisi jawatan tersebut.

“Sekarang sahaja kita ada lapan orang wanita yang mengisi jawatan Naib Canselor dan Timbalan Naib Canselor di pelbagai IPTA.

“Jadi manakah buktinya bahawa kita mendiskriminasikan wanita dalam soal ini,” katanya di lobi Parlimen hari ini.

Idris mengulas mengenai isu kontrak perkhidmatan Rafiah yang berkhidmat sebagai Naib Canselor UM sejak 1 Mei 2006 tidak disambung baru-baru ini.

Rafiah sebelum ini memaklumkan beliau tidak diberitahu oleh pihak bertanggungjawab mengenai sebab kontraknya ditamatkan sebaliknya hanya diberitahu perkhidmatannya tidak akan disambung sahaja.

Tempat Rafiah kini diganti oleh Presiden Universiti Multimedia (MMU), Profesor Datuk Dr. Gauth Jasmon.

Persidangan dewan kecoh isu naib canselor UM

KUALA LUMPUR 13 Nov. – Sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat hari ini terganggu kira-kira 10 minit berikutan sikap wakil rakyat pembangkang yang menjerit- jerit dan membuat bising kerana tidak berpuas hati dengan jawapan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Idris Haron.

Chong Eng (DAP-Bukit Mertajam) dan Fong Po Kuan (DAP-Batu Gajah) yang bangun mencelah menyifatkan jawapan Idris mengenai Naib Canselor Universiti Malaya (UM), Datuk Rafiah Salim tidak disambung kontrak perkhidmatannya kerana terdapat individu lain yang lebih layak, membuktikan kementerian itu melakukan diskriminasi terhadap wanita.

Mereka juga terus membuat bising setiap kali Idris bangun untuk memberikan jawapan sehingga menyebabkan beliau terpaksa duduk sebagai tanda protes.

”Bagilah saya jawab Bukit Mertajam, kalau tak nak dengar, saya duduklah,” kata Idris yang cuba menjelaskan bahawa pemilihan Presiden Universiti Multimedia (MMU), Profesor Datuk Dr. Gauth Jasmon sebagai pengganti dibuat secara telus oleh jawatankuasa pemilih bebas.

Menurut Chong Eng, beliau tidak berpuas hati kerana hanya tinggal seorang Naib Canselor wanita iaitu di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sedangkan terdapat 17 universiti di negara ini.

”Saya kata seorang tak cukup, ada 17 buah universiti, sekurang-kurangnya 30 peratus Naib Canselor adalah wanita,” ujarnya.

Kekecohan itu berterusan berikutan sikap Po Kuan yang tidak menghiraukan nasihat Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar supaya menghentikan perbalahan, sebaliknya terus membuat bising mendesak Idris mendedahkan senarai calon yang dinilai untuk jawatan Naib Canselor UM.

” Batu Gajah sudahlah. Yang berhormat (Idris) tidak payahlah berdialog. Sudahlah, apa semua ini,” ujar Wan Junaidi.

Keadaan hanya reda setelah Timbalan Yang Dipertua memberikan peringatan bahawa tiada sesiapa yang boleh mempertikaikan ketelusan jawatankuasa pemilih.

”Saya sendiri pernah terlibat sebagai ahli jawatankuasa ini dan tahu ia tidak menerima arahan daripada sesiapa. Saya juga mengetahui kelulusan yang dibuat oleh jawatankuasa berkenaan diterima pakai oleh Kementerian Pengajian Tinggi begitu sahaja,” jelasnya.

Idris yang membuat penjelasan sebelum itu menegaskan pihaknya tidak pernah mengamalkan pilih kasih terhadap jantina dan ia terbukti apabila terdapat lima Timbalan Naib Canselor wanita berwibawa yang telah dilantik.

”Saya hendak beritahu kepada Bukit Mertajam. Apabila kita menyebut kesaksamaan gender, ia bukan bermakna sama, sebaliknya bermaksud meletakkan sesuatu betul pada tempatnya,” kata beliau.