Persidangan dewan kecoh isu naib canselor UM

KUALA LUMPUR 13 Nov. – Sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat hari ini terganggu kira-kira 10 minit berikutan sikap wakil rakyat pembangkang yang menjerit- jerit dan membuat bising kerana tidak berpuas hati dengan jawapan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Idris Haron.

Chong Eng (DAP-Bukit Mertajam) dan Fong Po Kuan (DAP-Batu Gajah) yang bangun mencelah menyifatkan jawapan Idris mengenai Naib Canselor Universiti Malaya (UM), Datuk Rafiah Salim tidak disambung kontrak perkhidmatannya kerana terdapat individu lain yang lebih layak, membuktikan kementerian itu melakukan diskriminasi terhadap wanita.

Mereka juga terus membuat bising setiap kali Idris bangun untuk memberikan jawapan sehingga menyebabkan beliau terpaksa duduk sebagai tanda protes.

”Bagilah saya jawab Bukit Mertajam, kalau tak nak dengar, saya duduklah,” kata Idris yang cuba menjelaskan bahawa pemilihan Presiden Universiti Multimedia (MMU), Profesor Datuk Dr. Gauth Jasmon sebagai pengganti dibuat secara telus oleh jawatankuasa pemilih bebas.

Menurut Chong Eng, beliau tidak berpuas hati kerana hanya tinggal seorang Naib Canselor wanita iaitu di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sedangkan terdapat 17 universiti di negara ini.

”Saya kata seorang tak cukup, ada 17 buah universiti, sekurang-kurangnya 30 peratus Naib Canselor adalah wanita,” ujarnya.

Kekecohan itu berterusan berikutan sikap Po Kuan yang tidak menghiraukan nasihat Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar supaya menghentikan perbalahan, sebaliknya terus membuat bising mendesak Idris mendedahkan senarai calon yang dinilai untuk jawatan Naib Canselor UM.

” Batu Gajah sudahlah. Yang berhormat (Idris) tidak payahlah berdialog. Sudahlah, apa semua ini,” ujar Wan Junaidi.

Keadaan hanya reda setelah Timbalan Yang Dipertua memberikan peringatan bahawa tiada sesiapa yang boleh mempertikaikan ketelusan jawatankuasa pemilih.

”Saya sendiri pernah terlibat sebagai ahli jawatankuasa ini dan tahu ia tidak menerima arahan daripada sesiapa. Saya juga mengetahui kelulusan yang dibuat oleh jawatankuasa berkenaan diterima pakai oleh Kementerian Pengajian Tinggi begitu sahaja,” jelasnya.

Idris yang membuat penjelasan sebelum itu menegaskan pihaknya tidak pernah mengamalkan pilih kasih terhadap jantina dan ia terbukti apabila terdapat lima Timbalan Naib Canselor wanita berwibawa yang telah dilantik.

”Saya hendak beritahu kepada Bukit Mertajam. Apabila kita menyebut kesaksamaan gender, ia bukan bermakna sama, sebaliknya bermaksud meletakkan sesuatu betul pada tempatnya,” kata beliau.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: