Kelemahan komunikasi jejas kelancaran program profesional

Kelemahan komunikasi jejas kelancaran program profesional

Oleh Rosniza Mohd Taha

KELEMAHAN komunikasi menjadi punca wujud perselisihan pendapat dan salah faham antara institusi pengajian tinggi (IPT), Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan badan iktisas hingga menjejaskan kelancaran penilaian program profesional.

Perkara itu terbukti apabila ketiga-tiga pihak yang ditemukan buat julung kalinya dalam Majlis Dialog antara MQA dan IPT dengan badan profesional di Petaling Jaya, baru-baru ini menyuarakan pendapat serta pemahaman berbeza mengenai proses penilaian program berkenaan.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Idris Haron yang mempengerusikan sendiri majlis itu menyifatkan dialog berkenaan berjaya merungkai kekeliruan dan membuka fikiran semua pihak terbabit supaya bertindak proaktif dalam mengatasi masalah itu supaya pelajar tidak terus menjadi mangsa keadaan.
“Tahniah kepada MQA kerana mengambil inisiatif melaksanakan dialog ini bagi memberi peluang ketiga-tiga pihak yang hadir mendengar sendiri rungutan, teguran dan kelemahan yang mungkin selama ini tidak disedari.

“Namun, sesi ini bukan bertujuan menuding kesilapan pada mana-mana pihak saja sebaliknya ingin menjelaskan situasi sebenar serta membincangkan langkah susulan perlu diambil dalam masa terdekat serta jangka panjang.

“Saya harap dialog seumpama ini terus dianjurkan bagi membolehkan proses penambahbaikan dilaksanakan secara berterusan,” katanya kepada pemberita selepas majlis berkenaan.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif MQA, Datuk Dr Syed Ahmad Hussein dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Jaminan Kualiti) MQA, Prof Zita Mohd Fahmi.

Idris berkata, antara persetujuan bersama dicapai menerusi dialog itu adalah badan iktisas perlu memainkan peranan aktif dalam penilaian program profesional bukan saja di peringkat ijazah sarjana muda, malah bermula dengan diploma bagi memudahkan laluan pelajar mencapai tahap tertinggi kerjaya.

“Menerusi dialog ini didapati ada IPT yang salah faham apabila beranggapan program diploma perlu mendapat kelulusan pengendalian badan profesional sedangkan tidak.

“Namun, badan profesional seharusnya mengambil pendekatan terbuka dan proaktif dalam hal ini dengan menawarkan khidmat lawatan serta pemantauan pelaksanaan kerana lulusan diploma berpotensi mengembang kerjaya ke peringkat profesional, sekali gus berupaya meningkatkan golongan profesional negara.

“Bagi memastikan kelancaran proses ini, MQA boleh memainkan peranan dengan membekalkan pelan pelaksanaan dan proses penilaian, selain menetapkan tempoh kelulusan perlu diberi badan profesional supaya ia tidak mengambil masa terlalu lama hingga menjejaskan operasi IPT,” katanya.

Kerjasama antara MQA dengan badan profesional terutama dalam urusan penilaian kelulusan pengendalian dan akreditasi program bermula di peringkat ijazah sarjana muda sejak 2000 menerusi Jawatankuasa Teknikal Bersama.

Format penilaian badan iktisas digunakan dalam bidang profesional termasuk kejuruteraan, seni bina, perubatan, farmasi, ukur bahan, pergigian, kejururawatan, perubatan tradisional dan komplimentari, undang-undang, perancangan bandar dan wilayah, penilaian dan pentaksiran hartanah, ukur tanah dan rekaan dalaman, optometri serta pembantu perubatan.

Leave a comment