Pelajar jangan abai kokurikulum

Pelajar jangan abai kokurikulum

KOTA BHARU 1 Dis. – Ibu bapa dinasihatkan supaya tidak bimbang dengan penglibatan anak-anak dalam aktiviti kokurikulum kerana kajian mendapati pelajar yang terjebak dalam gejala sosial secara umumnya terdiri daripada mereka yang mengabaikan kegiatan di sekolah.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Idris Haron berkata, pelajar yang terlibat mengalihkan perhatian kepada kegiatan yang merugikan dan bertentangan dengan undang-undang.

”Mereka ada banyak masa dan tenaga yang disalurkan kepada kegiatan seperti merempit, berdemonstrasi atau menyertai pertubuhan yang dilarang sehingga akhirnya menjejaskan masa depan mereka,” ujarnya.

Sehubungan itu, katanya, kementerian berharap ibu bapa memberi dorongan kepada anak-anak agar memberi tumpuan dan tidak perlu bimbang jika anak-anak mereka aktif dalam kokurikulum.

”Jangan risau apabila anak-anak terlibat dalam kokurikulum seperti sukan dan yakinlah mereka adalah kalangan insan yang berguna dan tidak mudah terpesong,” katanya ketika berucap merasmikan Kejohanan Taekwando Antarabangsa Terbuka Kelantan-Universiti Sains Malaysia (USM) di sini semalam.

Kejohanan kali pertama anjuran Persatuan Taekwando Negeri Kelantan (PTNK), Kelab Taekwando USM dan pengurusan USM, Kubang Kerian di sini disertai oleh 16 pasukan yang mewakili kelab dan negeri termasuk enam pasukan dari Thailand.

Akademi Taekwando Cemerlang muncul sebagai juara keseluruhan dengan menggondol 14 emas, 9 perak, 12 gangsa diikuti Persatuan Taekwando Negeri Kelantan (9 emas, 7 perak, 15 gangsa) dan ketiga Pasukan Taekwando Pattani (9 emas, 4 perak dan 1 gangsa).

Katanya, seni mempertahankan diri merupakan salah satu kegiatan yang dapat mendisiplinkan pelajar di samping mencergaskan fizikal dan pemikiran mereka serta menanam keyakinan diri yang kukuh.

”Malah ia menyemai semangat kesukanan dan mendorong mereka untuk mengejar kecemerlangan dalam apa bidang yang ceburi melalui penguasaan ilmu dan kemahiran,” ujarnya.

Katanya, di institusi pengajian tinggi, penglibatan pelajar dalam kokurikulum sememangnya diwajibkan kerana ia sebahagian daripada persiapan untuk melahirkan graduan yang bersedia dan mampu menghadapi cabaran.

”Dalam usaha mengangkat pengajian tinggi negara ini ke taraf antarabangsa, kerajaan mahu pelajar mencapai kecemerlangan yang seimbang dalam bidang akademik dan juga bukan akademik.

”Selaras dengan matlamat itu, kita mahukan pelajar yang dapat membina keyakinan diri, berfikiran kritis dan kreatif dengan terlibat dalam kegiatan kokurikulum,” ujarnya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: