Program Awal Bantu Graduan Jadi Usahawan

BANDARAYA MELAKA, 8 Feb – Timbalan Menteri Pengajian Tinggi 1, Datuk Ir Idris Haron berkata, kementeriannya mempunyai peranan dan tanggungjawab berat bagi memastikan graduan -graduan Institut Pengajian Tinggi (IPT) mampu meraih peluang-peluang pekerjaan khususnya dalam keadaan ekonomi yang lembab.

Idris yang juga Ahli Parlimen Tangga Batu berkata, kementeriannya membuat persediaan awal dengan menyediakan program-program keusahawanan bagi membolehkan graduan-graduan menceburi bidang keusahawanan dan tidak bergantung kepada kerja ‘makan gaji’ semata-mata.

“Kita melahirkan 150,000 graduan setiap tahun dan bilangan ini sudah tentu melebihi peluang pekerjaan sedia ada di luar sana dan Kenterian Pengajian Tinggi (KPT) akan dibantu oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MECD) dalam usaha menyediakan peluang-peluang perniagaan kepada graduan-graduan,”katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan D Rimba Buluh Spa, Shah Beach Resort, di sini petang tadi. D Rimba Buluh Spa merupakan satu-satunya pusat kecantikan di kawasan Parlimen Tangga Batu, di sini.

Turut hadir, Pemilik D Rimba Spa, Noraini Hassan; Pemilik Shah Beach Resort, Khairuddin Shah dan rakan kongsi D Rimba Spa, Raja Maizatul Azwin Raja Nazri.

Menurutnya, tindakan MECD memberi pinjaman kepada graduan-graduan ditahun akhir merupakan langkah terbaik bukan sahaja menarik minat pelajar untuk bergelar usahawan, tetapi juga agensi-agensi berkaitan seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA), Yayasan Tekun untuk memberi peluang pinjaman kepada graduan.

“KPT sendiri telah menyarankan kepada semua IPT untuk membekalkan graduan dengan tiga perkara penting iaitu kemahiran insaniah, kemahiran berkomunikasi khususnya bahasa asing dan kemahiran didalam bidang Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) bagi menyediakan graduan berkualiti, sekaligus memudahkan mereka bersaing untuk mendapatkan pekerjaan selaras dengan kelulusan,” katanya lagi.

Idris turut menyarankan pihak IPT supaya mengambil kira kelemahan pelajar dan meminta mereka menyertai program-program sampingan seperti ko-kurikulum, kelas-kelas tutor, dan kelas pengucapan umum atau Public Speaking bagi memberi nilai tambah kepada kemahiran dan pengetahuan sedia ada pelajar.

Ketika diminta mengulas sikap pelajar yang tidak mengendahkan kemahiran berbahasa Inggeris dengan tidak menyertai kelas-kelas bahasa meskipun telah lama dianjurkan oleh pihak IPT, Idris berkata, pelajar juga perlu bertanggungjawab dan punyai sikap berdaya maju.

“Kebanyakan pelajar yang lemah berbahasa Inggeris tidak sedar betapa pentingnya kemahiran insaniah untuk memperolehi pekerjaan.

“Pelajar jurusan kejuruteraan sekalipun sekiranya gagal berbahasa Inggeris dengan baik, mereka juga sukar mendapat kerja, pandai dari segi akademik tidak cukup sekiranya tiada kemahiran lain sebagai nilai tambah,”katanya.

Idris berkata, adalah menjadi satu cabaran kepada IPT untuk menarik minat pelajar menyertai program-program kemahiran insaniah yang dianjurkan.

Kementeriannya turut menyarankan agar IPT-IPT di negara ini menjalankan program di luar waktu pengajian yang dapat memenuhi keperluan pekerjaan masa kini .

Beliau optimis pelajar-pelajar yang mengikuti program-program yang dianjurkan lebih mudah mendapat pekerjaan.

Dalam perkembangan lain, Idris berkata, kadar pengangguran di negara ini menurun dari 30,000 orang sekitar tahun 2006 kepada 18,000 orang, tahun lalu.

Katanya, Kajian Jejak Graduan (KJG) dilakukan kementeriannya terhadap pelajar selepas enam bulan menamatkan pengajian bagi mendapatkan respon graduan yang menganggur.

Menerusi kajian berkenaan, graduan menganggur dikelaskan dalam empat kategori iaitu langsung tidak bekerja dan ditanggung keluarga, pekerjaan yang tidak selari dengan pengajian, usahawan kecil-kecilan dan berdaftar dengan pejabat buruh serta graduan yang menunggu peluang untuk menyambung pengajian.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: