MBM cadangkan dwi bahasa tentang PPSMI

 Majlis Belia Malaysia (MBM)  mencadangkan supaya pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dilaksanakan dalam sistem dwibahasa, Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu.

Timbalan Presiden MBM, Datuk Idris Haron berkata, kaedah itu lebih sesuai sebagai jalan tengah penyelesaian isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang bersifat menang-menang.

Menurut beliau, ini bermakna kerajaan perlu meneruskan dasar PPSMI tetapi pada masa sama turut membenarkan pelajar dan ibu bapa membuat pilihan terbaik mengikut kesesuaian kemahiran bahasa anak- anak mereka.

“Jalan terbaik ialah mengambil pendekatan menang-menang atau jalan tengah kerana selepas PPSMI diperkenalkan kira-kira enam tahun lalu, telah banyak pelaburan yang dibuat termasuk kos penerbitan buku teks dalam bahasa Inggeris dan latihan kepada guru terbabit.

“Malah pada masa sama juga terdapat para pelajar dan ibu bapa yang selesa dengan penggunaan bahasa Inggeris.

“Bagaimanapun kita tidak boleh lupakan sekumpulan pelajar lain terutama di kawasan pedalaman yang ketinggalan dalam kedua-dua subjek kerana masalah bahasa,” katanya.

Advertisements

Kesal Melayu lebih selesa budaya Barat

KUALA LUMPUR 13 Mac – Kelangsungan budaya Melayu dan tradisinya di negara ini boleh tergugat sekiranya orang Melayu taksub dengan cara hidup Barat.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Idris Haron berkata, rakyat negara ini terutama orang Melayu sendiri kini dilihat tidak lagi membudayakan warisan Melayu.

”Seharusnya budaya Melayu dimartabatkan dalam usaha untuk memperkenalkan dunia Melayu ke peringkat yang lebih tinggi.

”Langkah tersebut selaras dengan kedudukan penggunaan bahasa Melayu pada masa ini sebagai bahasa keempat tertinggi di dunia,” katanya pada Festival Akademi Pengajian Melayu 2009 anjuran Akademi Pengajian Melayu (APM) Universiti Malaya (UM) di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi, Prof. Datuk Mohd. Yusof Kasim.

Idris berkata, dalam usaha memartabatkan budaya Melayu di kalangan masyarakat Malaysia, kementerian amat menggalakkan pihak luar untuk menganjurkan program berkaitan budaya Melayu seperti festival tersebut.

Penganjuran festival berkenaan budaya Melayu, jelasnya, dapat memberi kefahaman dan pengetahuan tentang kesenian dan kebudayaan Melayu khususnya kepada penuntut antarabangsa di universiti-universiti dalam negara.

“Di samping itu, ia dapat mencungkil dan mengenengahkan bakat di kalangan para mahasiswa menerusi pelbagai aktiviti yang telah disusun sepanjang program yang dianjurkan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Akademi Pengajian Melayu UM, Prof. Madya Datuk Zainal Abidin Borhan berkata, sebagai menyahut seruan kerajaan dalam memartabatkan budaya Melayu, UM telah mengadakan program pertukaran pelajar ke Beijing dan Thailand.

Ketika ini katanya, seramai 17 pelajar dari Universiti Beijing telah ditempatkan di APM sejak Januari lalu bagi mengikuti program pembelajaran bahasa Melayu.

“Mereka akan mengikuti pembelajaran di sini selama satu semester, kemudian APM akan membawa pelajar dari sini pula untuk ditukarkan ke Universiti di Beijing bagi tempoh yang sama,” jelas beliau.