Ulasan Kemenangan MT

gambar

gambar

“Perlu diingat, Melaka satu-satunya negeri yang tiada calon UMNO tewas pada pilihanraya umum lalu. Kita mempunyai rekod baik.”

Datuk Idris Haron, mengulas kemenangannya sebagai calon tunggal yang menjadi MT dari Melaka.

BARISAN MAJLIS TERTINGGI UMNO TAHUN 2008/2011

BARISAN MAJLIS TERTINGGI UMNO TAHUN 2008/2011

PENGERUSI TETAP: Datuk Badruddin Amiruldin ……………… (2,272 undi)

TIMBALAN PENGERUSI TETAP: Datuk Mohamad Aziz ……………… (menang tanpa bertanding)

PRESIDEN: Datuk Seri Najib Razak ……………… (menang tanpa bertanding)

TIMBALAN PRESIDEN: Tan Sri Muhyiddin Yassin ……………… (1,575 undi)

NAIB PRESIDEN:

1. Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ……………… (1,592 undi)
2. Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein ……………… (1,515 undi)
3.
Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal ……………… (1,445 undi)

AHLI MAJLIS TERTINGGI:

1. Datuk Seri Mustapa Mohamed ……………… (2,239 undi)
2. Datuk Noh Omar ………………
(2,084 undi)
3. Datuk Seri Musa Aman ……………… (2,084 undi)
4. Datuk Azian Osman ……………… (2,060 undi)
5. Datuk Zainal Abidin Osman ……………… (2,054 undi)
6. Datuk Mohd. Zin Mohamed ……………… (1,854 undi)
7. Datuk Ismail Sabri Yaakob ……………… (1,838 undi)
8. Datuk Lajim Ukin ……………… (1,804 undi)
9. Datuk Shaziman Abu Mansor ……………… (1,705 undi)
10. Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi ……………… (1,700 undi)
11. Datuk Tajuddin Abdul Rahman ……………… (1,685 undi)
12. Datuk Idris Haron ……………… (1,658 undi)
13. Datuk Dr. Abd. Latiff Ahmad ……………… (1,624 undi)
14. Datuk Seri Dr. Jamaluddin Jarjis ……………… (1,622 undi)
15. Datuk Saifuddin Abdullah ……………… (1,619 undi)
16. Datuk Dr. Norraesah Mohamad ……………… (1,611 undi)
17. Datuk Seri Mahdzir Khalid ……………… (1,580 undi)
18. Datuk Ahmad Husni Mohd. Hanadzlah ……………… (1,529 undi)
19. Datuk Hamzah Zainuddin ……………… (1,518 undi)
20. Datuk Bung Mokhtar Radin ……………… (1,517 undi)
21. Datuk Dr. Awang Adek Hussin ……………… (1,481)
22. Datuk Seri Zulhasnan Rafique ……………… (1,431)
23. Datuk Ahmad Shabery Cheek ……………… (1,377)
24. Datuk Seri Idris Jusoh ………………
(1,275)
25. Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim ……………… (1,265)

Pembangkang tagih simpati pengundi

Pembangkang tagih simpati pengundi

MELAKA 16 Mac – Cadangan Pas mahu mewujudkan kerajaan campuran dianggap semata-mata ingin menambat hati pengundi sempena pilihan raya kecil Bukit Selambau dan Bukit Gantang.

Ahli Parlimen Tangga Batu, Datuk Idris Haron berkata, idea pembangkang memberi cadangan seperti itu seolah-olah menunjukkan mereka parti yang boleh menerima segala idea.

“Ini satu cara politik murahan dan sempit… malah hanya digunakan ketika menjelang musim pilihan raya bertujuan untuk memenangi sesuatu kawasan.

“Idea ini, UMNO pernah cadangkan dahulu selepas Pilihan Raya Umum ke-12 dengan mewujudkan kerajaan campuran di Perak dan Selangor.

“Tetapi mereka tolak mentah-mentah kerana Pas rasa lebih baik bekerja dengan DAP daripada UMNO yang zalim,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Pengajian Tinggi Negara 2009 Zon 5 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini baru-baru ini.

Beliau mengulas lanjut cadangan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mahu mewujudkan kerajaan campuran antara Pas dan UMNO bagi mengembalikan keadaan negara aman dan tenteram.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Idris juga Exco Pergerakan Pemuda UMNO dan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi berkata, rakyat sebagai pemilih yang adil perlu bijak untuk menilai pendirian dan ketelusan Pas dalam soal tersebut.

“Rakyat kumpulan pengundi yang bijaksana dan boleh menilai parti yang benar-benar boleh menjamin masa depan negara,” katanya.

-Utusan Malaysia

Larangan Bertanding Timbalan Presiden Memeranjatkkan

18/03/09

Ketua Umno Bahagian Tangga Batu, Datuk Idris Haron berkata Datuk Seri Mohd Ali Rustam dilarang bertanding jawatan Timbalan Presiden Umno pada pemilihan parti UMNO setelah didapati bersalah melibatkan politik wang oleh Lembaga Disiplin amat memeranjatkan dan mengecewakan penyokong Mohd Ali di Melaka dan negeri lain.

Beliau berkata Lembaga Disiplin parti sepatutnya merujuk terlebih dahulu keputusan yang hendak diambil kepada Majlis Tertinggi (MT) sebelum membuat pengumuman.

“Hukuman itu sepatutnya mengambil kira kepentingan politik kerana ia boleh mengundang pelbagai reaksi serta menjejaskan keyakinan anggota pada parti,” katanya.

-Bernama

http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2009/3/18/mstar_berita/20090318104535&sec=mstar_berita

Urusan kerajaan, parti diberi lebih tumpuan

Syor 2 timbalan presiden

Urusan kerajaan, parti diberi lebih tumpuan: Calon MT

PUTRAJAYA: Jawatan Timbalan Presiden Umno dicadangkan ditambah satu lagi dengan seorang daripada mereka diberi jawatan dalam kerajaan sebagai Timbalan Perdana Menteri, manakala seorang lagi menumpukan kerja parti dalam hal pengurusan dan pentadbiran Umno.

Calon Majlis Tertinggi Umno (MT), Datuk Idris Haron, ketika mencadangkan perkara itu, berkata langkah itu bertujuan urusan kerajaan dan parti dipisahkan.

“Cadangan ini selaras pembaharuan dalam Umno selepas pelbagai tanggapan negatif kepada parti selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu,” katanya.

Beliau berkata, jawatan Naib Presiden juga perlu ditambah kepada enam kerusi berbanding tiga ketika ini bagi membolehkan Naib Presiden menjaga sayap Umno, Wanita, Pemuda dan Puteri.

“Saya tahu sekarang memang Ketua Wanita, Pemuda dan Puteri bertaraf Naib Presiden tetapi kita tiada Naib Presiden yang benar-benar menjaga sayap berkenaan.

“Jumlah ahli MT juga perlu diubah. Mungkin semuanya dipilih dan tiada yang dilantik lagi,” katanya kepada Berita Minggu.

Bagaimanapun, katanya, cadangan itu perlu dikaji untuk memastikan kesesuaiannya supaya ia dapat membawa Umno ke arah pembaharuan dan parti terus relevan untuk 50 tahun akan datang.

Beliau berkata, Umno kini perlukan pembaharuan bagi memenuhi kehendak dan kepentingan akar umbi dan rakyat bukan hanya memenuhi hasrat pemimpin dalam parti saja.

Idris yang pertama kali dicalonkan sebagai ahli MT berkata, selain pengstrukturan semula kepemimpinan Umno, ada enam perkara utama lain yang perlukan pembaharuan termasuk sistem sedia ada dalam parti, strategi, skil atau kemahiran ahli dan pemimpin, gaya kepemimpinan, staf dan perkongsian nilai.

Katanya, sistem pemilihan dalam Umno juga perlu diubah bagi membentuk budaya sihat dalam parti dengan pemilihan tidak lagi pada peringkat pusat sebaliknya pertandingan jawatan Presiden, Naib Presiden, MT, Ketua Wanita, Ketua Pemuda dan Puteri dilakukan pada peringkat bahagian dan dilakukan seperti pilihan raya umum.

“Sistem termasuk dalam urusan pentadbiran dan pengurusan, pengukuran sokongan ahli dan rakyat, begitu juga dengan usul yang dibangkitkan di cawangan dan bahagian juga perlu didengari pada peringkat negeri dan ibu pejabat Umno,” katanya.

Idris berkata, strategi Umno perlu diberikan elemen baru, manakala ciri sedia ada diperkenalkan pemimpin terdahulu dikekalkan.

“Kini, strategi Umno lebih menumpukan usaha menambah cawangan tetapi tidak menggerakkan cawangan. Contoh paling jelas adalah kekalahan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Kuala Terengganu. Bahagian Kuala Terengganu pernah dianugerahkan Bahagian teramai ahli iaitu 50,000 orang dan jika semua ahli Umno menyokong calon BN bermakna, kita sudah boleh menang, tetapi sebaliknya berlaku.

Sumber- Berita Harian

KPT bantu sahkan Ph.D. pekerja

KPT bantu sahkan Ph.D. pekerja

KUALA LUMPUR 13 Feb. – Majikan di negara ini diminta menghubungi Kementerian Pengajian Tinggi untuk menentukan kesahihan Ijazah Doktor Falsafah (Ph.D.) yang dikemukakan oleh bakal pekerja masing-masing.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Ir. Idris Haron berkata, semakan boleh dibuat melalui Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) di bawah kementerian.

“Dengan sistem ini, kementerian akan merekodkan semua data individu dan menghubungi institusi pengajian yang berkenaan termasuk di luar negara untuk mengesahkan kesahihan Ph.D. yang diperoleh.

“Majikan boleh terus merujuk kelulusan calon pekerja kepada kementerian untuk menentukan kesahihan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurut Idris, jika terbukti bakal pekerja membeli gelaran tersebut, majikan boleh mengambil tindakan tegas mengikut akta yang ada termasuk mendakwa mereka atas tuduhan menipu.

Beliau mengulas surat pembaca Forum Utusan Malaysia semalam berhubung kewujudan segelintir individu yang memperoleh gelaran Ph.D. dengan cara membelinya.

Program Awal Bantu Graduan Jadi Usahawan

BANDARAYA MELAKA, 8 Feb – Timbalan Menteri Pengajian Tinggi 1, Datuk Ir Idris Haron berkata, kementeriannya mempunyai peranan dan tanggungjawab berat bagi memastikan graduan -graduan Institut Pengajian Tinggi (IPT) mampu meraih peluang-peluang pekerjaan khususnya dalam keadaan ekonomi yang lembab.

Idris yang juga Ahli Parlimen Tangga Batu berkata, kementeriannya membuat persediaan awal dengan menyediakan program-program keusahawanan bagi membolehkan graduan-graduan menceburi bidang keusahawanan dan tidak bergantung kepada kerja ‘makan gaji’ semata-mata.

“Kita melahirkan 150,000 graduan setiap tahun dan bilangan ini sudah tentu melebihi peluang pekerjaan sedia ada di luar sana dan Kenterian Pengajian Tinggi (KPT) akan dibantu oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MECD) dalam usaha menyediakan peluang-peluang perniagaan kepada graduan-graduan,”katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan D Rimba Buluh Spa, Shah Beach Resort, di sini petang tadi. D Rimba Buluh Spa merupakan satu-satunya pusat kecantikan di kawasan Parlimen Tangga Batu, di sini.

Turut hadir, Pemilik D Rimba Spa, Noraini Hassan; Pemilik Shah Beach Resort, Khairuddin Shah dan rakan kongsi D Rimba Spa, Raja Maizatul Azwin Raja Nazri.

Menurutnya, tindakan MECD memberi pinjaman kepada graduan-graduan ditahun akhir merupakan langkah terbaik bukan sahaja menarik minat pelajar untuk bergelar usahawan, tetapi juga agensi-agensi berkaitan seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA), Yayasan Tekun untuk memberi peluang pinjaman kepada graduan.

“KPT sendiri telah menyarankan kepada semua IPT untuk membekalkan graduan dengan tiga perkara penting iaitu kemahiran insaniah, kemahiran berkomunikasi khususnya bahasa asing dan kemahiran didalam bidang Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) bagi menyediakan graduan berkualiti, sekaligus memudahkan mereka bersaing untuk mendapatkan pekerjaan selaras dengan kelulusan,” katanya lagi.

Idris turut menyarankan pihak IPT supaya mengambil kira kelemahan pelajar dan meminta mereka menyertai program-program sampingan seperti ko-kurikulum, kelas-kelas tutor, dan kelas pengucapan umum atau Public Speaking bagi memberi nilai tambah kepada kemahiran dan pengetahuan sedia ada pelajar.

Ketika diminta mengulas sikap pelajar yang tidak mengendahkan kemahiran berbahasa Inggeris dengan tidak menyertai kelas-kelas bahasa meskipun telah lama dianjurkan oleh pihak IPT, Idris berkata, pelajar juga perlu bertanggungjawab dan punyai sikap berdaya maju.

“Kebanyakan pelajar yang lemah berbahasa Inggeris tidak sedar betapa pentingnya kemahiran insaniah untuk memperolehi pekerjaan.

“Pelajar jurusan kejuruteraan sekalipun sekiranya gagal berbahasa Inggeris dengan baik, mereka juga sukar mendapat kerja, pandai dari segi akademik tidak cukup sekiranya tiada kemahiran lain sebagai nilai tambah,”katanya.

Idris berkata, adalah menjadi satu cabaran kepada IPT untuk menarik minat pelajar menyertai program-program kemahiran insaniah yang dianjurkan.

Kementeriannya turut menyarankan agar IPT-IPT di negara ini menjalankan program di luar waktu pengajian yang dapat memenuhi keperluan pekerjaan masa kini .

Beliau optimis pelajar-pelajar yang mengikuti program-program yang dianjurkan lebih mudah mendapat pekerjaan.

Dalam perkembangan lain, Idris berkata, kadar pengangguran di negara ini menurun dari 30,000 orang sekitar tahun 2006 kepada 18,000 orang, tahun lalu.

Katanya, Kajian Jejak Graduan (KJG) dilakukan kementeriannya terhadap pelajar selepas enam bulan menamatkan pengajian bagi mendapatkan respon graduan yang menganggur.

Menerusi kajian berkenaan, graduan menganggur dikelaskan dalam empat kategori iaitu langsung tidak bekerja dan ditanggung keluarga, pekerjaan yang tidak selari dengan pengajian, usahawan kecil-kecilan dan berdaftar dengan pejabat buruh serta graduan yang menunggu peluang untuk menyambung pengajian.