Kesal Melayu lebih selesa budaya Barat

KUALA LUMPUR 13 Mac – Kelangsungan budaya Melayu dan tradisinya di negara ini boleh tergugat sekiranya orang Melayu taksub dengan cara hidup Barat.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Idris Haron berkata, rakyat negara ini terutama orang Melayu sendiri kini dilihat tidak lagi membudayakan warisan Melayu.

”Seharusnya budaya Melayu dimartabatkan dalam usaha untuk memperkenalkan dunia Melayu ke peringkat yang lebih tinggi.

”Langkah tersebut selaras dengan kedudukan penggunaan bahasa Melayu pada masa ini sebagai bahasa keempat tertinggi di dunia,” katanya pada Festival Akademi Pengajian Melayu 2009 anjuran Akademi Pengajian Melayu (APM) Universiti Malaya (UM) di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi, Prof. Datuk Mohd. Yusof Kasim.

Idris berkata, dalam usaha memartabatkan budaya Melayu di kalangan masyarakat Malaysia, kementerian amat menggalakkan pihak luar untuk menganjurkan program berkaitan budaya Melayu seperti festival tersebut.

Penganjuran festival berkenaan budaya Melayu, jelasnya, dapat memberi kefahaman dan pengetahuan tentang kesenian dan kebudayaan Melayu khususnya kepada penuntut antarabangsa di universiti-universiti dalam negara.

“Di samping itu, ia dapat mencungkil dan mengenengahkan bakat di kalangan para mahasiswa menerusi pelbagai aktiviti yang telah disusun sepanjang program yang dianjurkan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Akademi Pengajian Melayu UM, Prof. Madya Datuk Zainal Abidin Borhan berkata, sebagai menyahut seruan kerajaan dalam memartabatkan budaya Melayu, UM telah mengadakan program pertukaran pelajar ke Beijing dan Thailand.

Ketika ini katanya, seramai 17 pelajar dari Universiti Beijing telah ditempatkan di APM sejak Januari lalu bagi mengikuti program pembelajaran bahasa Melayu.

“Mereka akan mengikuti pembelajaran di sini selama satu semester, kemudian APM akan membawa pelajar dari sini pula untuk ditukarkan ke Universiti di Beijing bagi tempoh yang sama,” jelas beliau.

Advertisements

Sistem online kemasukan ke universiti dikaji

MELAKA 15 Mac – Kementerian Pengajian Tinggi akan menjalankan kajian menyeluruh mengenai sistem kemasukan ke universiti secara dalam talian atau online agar tidak mudah diceroboh pihak tertentu.

Timbalan Menterinya, Datuk Idris Haron berkata, ia perlu dilihat secara terperinci dan pihaknya perlu membuat kajian terperinci terlebih dahulu dari setiap sudut sebelum membuat sebarang tindakan susulan mengenainya.

“Kita tidak tengok apa saja kes atau aduan berhubung pencerobohan online yang berlaku ketika ini sebagai kes terpencil.

“Kita akan tengok secara menyeluruh dan mengkaji bagaimana maklumat butiran pelajar yang memohon menggunakan sistem online ini boleh diceroboh,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Pengajian Tinggi Negara 2009 Zon 5 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini semalam.

Beliau mengulas mengenai laporan akhbar semalam mengenai dakwaan tiga pelajar lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang terkejut mendapati maklumat permohonan mereka menerusi sistem online telah bertukar berbanding permohonan asal.

Menurut Idris, pihaknya perlu meneliti kronologi permohonan pelajar berkenaan secara terperinci bagi mengenal pasti punca permasalahan tersebut.

Menurutnya, kajian semula itu tidak hanya memfokuskan kepada kes tiga pelajar lepasan STPM terlibat tetapi ia dilihat pelbagai aspek secara menyeluruh.

Urusan kerajaan, parti diberi lebih tumpuan

Syor 2 timbalan presiden

Urusan kerajaan, parti diberi lebih tumpuan: Calon MT

PUTRAJAYA: Jawatan Timbalan Presiden Umno dicadangkan ditambah satu lagi dengan seorang daripada mereka diberi jawatan dalam kerajaan sebagai Timbalan Perdana Menteri, manakala seorang lagi menumpukan kerja parti dalam hal pengurusan dan pentadbiran Umno.

Calon Majlis Tertinggi Umno (MT), Datuk Idris Haron, ketika mencadangkan perkara itu, berkata langkah itu bertujuan urusan kerajaan dan parti dipisahkan.

“Cadangan ini selaras pembaharuan dalam Umno selepas pelbagai tanggapan negatif kepada parti selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu,” katanya.

Beliau berkata, jawatan Naib Presiden juga perlu ditambah kepada enam kerusi berbanding tiga ketika ini bagi membolehkan Naib Presiden menjaga sayap Umno, Wanita, Pemuda dan Puteri.

“Saya tahu sekarang memang Ketua Wanita, Pemuda dan Puteri bertaraf Naib Presiden tetapi kita tiada Naib Presiden yang benar-benar menjaga sayap berkenaan.

“Jumlah ahli MT juga perlu diubah. Mungkin semuanya dipilih dan tiada yang dilantik lagi,” katanya kepada Berita Minggu.

Bagaimanapun, katanya, cadangan itu perlu dikaji untuk memastikan kesesuaiannya supaya ia dapat membawa Umno ke arah pembaharuan dan parti terus relevan untuk 50 tahun akan datang.

Beliau berkata, Umno kini perlukan pembaharuan bagi memenuhi kehendak dan kepentingan akar umbi dan rakyat bukan hanya memenuhi hasrat pemimpin dalam parti saja.

Idris yang pertama kali dicalonkan sebagai ahli MT berkata, selain pengstrukturan semula kepemimpinan Umno, ada enam perkara utama lain yang perlukan pembaharuan termasuk sistem sedia ada dalam parti, strategi, skil atau kemahiran ahli dan pemimpin, gaya kepemimpinan, staf dan perkongsian nilai.

Katanya, sistem pemilihan dalam Umno juga perlu diubah bagi membentuk budaya sihat dalam parti dengan pemilihan tidak lagi pada peringkat pusat sebaliknya pertandingan jawatan Presiden, Naib Presiden, MT, Ketua Wanita, Ketua Pemuda dan Puteri dilakukan pada peringkat bahagian dan dilakukan seperti pilihan raya umum.

“Sistem termasuk dalam urusan pentadbiran dan pengurusan, pengukuran sokongan ahli dan rakyat, begitu juga dengan usul yang dibangkitkan di cawangan dan bahagian juga perlu didengari pada peringkat negeri dan ibu pejabat Umno,” katanya.

Idris berkata, strategi Umno perlu diberikan elemen baru, manakala ciri sedia ada diperkenalkan pemimpin terdahulu dikekalkan.

“Kini, strategi Umno lebih menumpukan usaha menambah cawangan tetapi tidak menggerakkan cawangan. Contoh paling jelas adalah kekalahan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Kuala Terengganu. Bahagian Kuala Terengganu pernah dianugerahkan Bahagian teramai ahli iaitu 50,000 orang dan jika semua ahli Umno menyokong calon BN bermakna, kita sudah boleh menang, tetapi sebaliknya berlaku.

Sumber- Berita Harian

KPT bantu sahkan Ph.D. pekerja

KPT bantu sahkan Ph.D. pekerja

KUALA LUMPUR 13 Feb. – Majikan di negara ini diminta menghubungi Kementerian Pengajian Tinggi untuk menentukan kesahihan Ijazah Doktor Falsafah (Ph.D.) yang dikemukakan oleh bakal pekerja masing-masing.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Ir. Idris Haron berkata, semakan boleh dibuat melalui Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) di bawah kementerian.

“Dengan sistem ini, kementerian akan merekodkan semua data individu dan menghubungi institusi pengajian yang berkenaan termasuk di luar negara untuk mengesahkan kesahihan Ph.D. yang diperoleh.

“Majikan boleh terus merujuk kelulusan calon pekerja kepada kementerian untuk menentukan kesahihan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurut Idris, jika terbukti bakal pekerja membeli gelaran tersebut, majikan boleh mengambil tindakan tegas mengikut akta yang ada termasuk mendakwa mereka atas tuduhan menipu.

Beliau mengulas surat pembaca Forum Utusan Malaysia semalam berhubung kewujudan segelintir individu yang memperoleh gelaran Ph.D. dengan cara membelinya.

Program Awal Bantu Graduan Jadi Usahawan

BANDARAYA MELAKA, 8 Feb – Timbalan Menteri Pengajian Tinggi 1, Datuk Ir Idris Haron berkata, kementeriannya mempunyai peranan dan tanggungjawab berat bagi memastikan graduan -graduan Institut Pengajian Tinggi (IPT) mampu meraih peluang-peluang pekerjaan khususnya dalam keadaan ekonomi yang lembab.

Idris yang juga Ahli Parlimen Tangga Batu berkata, kementeriannya membuat persediaan awal dengan menyediakan program-program keusahawanan bagi membolehkan graduan-graduan menceburi bidang keusahawanan dan tidak bergantung kepada kerja ‘makan gaji’ semata-mata.

“Kita melahirkan 150,000 graduan setiap tahun dan bilangan ini sudah tentu melebihi peluang pekerjaan sedia ada di luar sana dan Kenterian Pengajian Tinggi (KPT) akan dibantu oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MECD) dalam usaha menyediakan peluang-peluang perniagaan kepada graduan-graduan,”katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan D Rimba Buluh Spa, Shah Beach Resort, di sini petang tadi. D Rimba Buluh Spa merupakan satu-satunya pusat kecantikan di kawasan Parlimen Tangga Batu, di sini.

Turut hadir, Pemilik D Rimba Spa, Noraini Hassan; Pemilik Shah Beach Resort, Khairuddin Shah dan rakan kongsi D Rimba Spa, Raja Maizatul Azwin Raja Nazri.

Menurutnya, tindakan MECD memberi pinjaman kepada graduan-graduan ditahun akhir merupakan langkah terbaik bukan sahaja menarik minat pelajar untuk bergelar usahawan, tetapi juga agensi-agensi berkaitan seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA), Yayasan Tekun untuk memberi peluang pinjaman kepada graduan.

“KPT sendiri telah menyarankan kepada semua IPT untuk membekalkan graduan dengan tiga perkara penting iaitu kemahiran insaniah, kemahiran berkomunikasi khususnya bahasa asing dan kemahiran didalam bidang Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) bagi menyediakan graduan berkualiti, sekaligus memudahkan mereka bersaing untuk mendapatkan pekerjaan selaras dengan kelulusan,” katanya lagi.

Idris turut menyarankan pihak IPT supaya mengambil kira kelemahan pelajar dan meminta mereka menyertai program-program sampingan seperti ko-kurikulum, kelas-kelas tutor, dan kelas pengucapan umum atau Public Speaking bagi memberi nilai tambah kepada kemahiran dan pengetahuan sedia ada pelajar.

Ketika diminta mengulas sikap pelajar yang tidak mengendahkan kemahiran berbahasa Inggeris dengan tidak menyertai kelas-kelas bahasa meskipun telah lama dianjurkan oleh pihak IPT, Idris berkata, pelajar juga perlu bertanggungjawab dan punyai sikap berdaya maju.

“Kebanyakan pelajar yang lemah berbahasa Inggeris tidak sedar betapa pentingnya kemahiran insaniah untuk memperolehi pekerjaan.

“Pelajar jurusan kejuruteraan sekalipun sekiranya gagal berbahasa Inggeris dengan baik, mereka juga sukar mendapat kerja, pandai dari segi akademik tidak cukup sekiranya tiada kemahiran lain sebagai nilai tambah,”katanya.

Idris berkata, adalah menjadi satu cabaran kepada IPT untuk menarik minat pelajar menyertai program-program kemahiran insaniah yang dianjurkan.

Kementeriannya turut menyarankan agar IPT-IPT di negara ini menjalankan program di luar waktu pengajian yang dapat memenuhi keperluan pekerjaan masa kini .

Beliau optimis pelajar-pelajar yang mengikuti program-program yang dianjurkan lebih mudah mendapat pekerjaan.

Dalam perkembangan lain, Idris berkata, kadar pengangguran di negara ini menurun dari 30,000 orang sekitar tahun 2006 kepada 18,000 orang, tahun lalu.

Katanya, Kajian Jejak Graduan (KJG) dilakukan kementeriannya terhadap pelajar selepas enam bulan menamatkan pengajian bagi mendapatkan respon graduan yang menganggur.

Menerusi kajian berkenaan, graduan menganggur dikelaskan dalam empat kategori iaitu langsung tidak bekerja dan ditanggung keluarga, pekerjaan yang tidak selari dengan pengajian, usahawan kecil-kecilan dan berdaftar dengan pejabat buruh serta graduan yang menunggu peluang untuk menyambung pengajian.

UIAM bakal jadi hab ICT Islam

UIAM bakal jadi hab ICT Islam

KUALA LUMPUR 2 Mac – Kulliyah Teknologi Maklumat dan Komunikasi (KICT) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) akan menjadi pusat penyelidikan dan pembangunan ICT untuk dunia Islam apabila bangunan baru bernilai RM79 juta siap menjelang 2011.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Ir. Idris Haron berkata, pusat penyelidikan di KICT itu bakal menjadi peneraju kemajuan dan perkembangan ICT untuk masyarakat Islam dan dunia sejagat.

Menurut beliau, KICT akan menjalin kerjasama dengan universiti, sektor industri, pusat penyelidikan di dalam dan luar negara untuk mencipta teknologi menggunakan peralatan terkini.

“Semua program di kulliyah itu dibentuk mengintegrasi ilmu Islam dengan ICT. Saya yakin UIAM akan menjadi hab KICT dunia Islam satu hari nanti.

“Jika terdapat pertemuan terbaru sudah tentu ia mempunyai hak intelektual (IP) dan sekiranya ada nilai komersial, semua pihak yang terlibat antaranya universiti dan penyelidik akan mendapat keuntungan.

“Kementerian dan pihak universiti tiada halangan dalam urusan mengagih dan berkongsi keuntungan jika sesuatu pertemuan terbaru mendapat pasaran antarabangsa,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan acara pecah tanah di tapak bangunan baru KICT seluas 500,000 meter persegi di UIAM Kampus Gombak di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Idris bersetuju dengan saranan Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali yang meminta parti-parti politik tidak mengganggu dan mempengaruhi persatuan mahasiswa di institusi pengajian tinggi.

Pensyarah lewat habis Ph.D diberi amaran

Pensyarah lewat habis Ph.D diberi amaran

KUALA LUMPUR 1 Mac – Kementerian Pengajian Tinggi memberi amaran keras kepada para pensyarah di institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan supaya melengkapkan pengajian peringkat tertinggi mereka dalam masa yang ditetapkan seperti dijanjikan dalam kontrak.

Timbalan Menterinya, Datuk Idris Haron berkata, kegagalan berbuat demikian memberi implikasi besar terhadap kos pembiayaan para pensyarah itu yang ditanggung kerajaan serta urusan pentadbiran institusi-institusi terlibat.

Justeru katanya, pensyarah yang didapati gagal melengkapkan program masing-masing dalam masa yang ditetapkan perlu mengemukakan surat tunjuk sebab mengenai kelewatan itu.

”Jika tidak diberikan peringatan sebegitu, kementerian khuatir ia akan menjadi kebiasaan kepada warga pensyarah yang mengikuti pengajian tanggungan kerajaan.

”Keadaan ini seterusnya menjadikan IPT di negara ini terutama IPT awam semakin pincang,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris tempatan semalam mengenai 50 pensyarah Universiti Malaya (UM) diberi surat tunjuk sebab kerana gagal melengkapkan pengajian peringkat doktor falsafah (Ph.D) dalam masa dijanjikan.