Syor 2 timbalan presiden
Urusan kerajaan, parti diberi lebih tumpuan: Calon MT
PUTRAJAYA: Jawatan Timbalan Presiden Umno dicadangkan ditambah satu lagi dengan seorang daripada mereka diberi jawatan dalam kerajaan sebagai Timbalan Perdana Menteri, manakala seorang lagi menumpukan kerja parti dalam hal pengurusan dan pentadbiran Umno.
Calon Majlis Tertinggi Umno (MT), Datuk Idris Haron, ketika mencadangkan perkara itu, berkata langkah itu bertujuan urusan kerajaan dan parti dipisahkan.
“Cadangan ini selaras pembaharuan dalam Umno selepas pelbagai tanggapan negatif kepada parti selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu,” katanya.
Beliau berkata, jawatan Naib Presiden juga perlu ditambah kepada enam kerusi berbanding tiga ketika ini bagi membolehkan Naib Presiden menjaga sayap Umno, Wanita, Pemuda dan Puteri.
“Saya tahu sekarang memang Ketua Wanita, Pemuda dan Puteri bertaraf Naib Presiden tetapi kita tiada Naib Presiden yang benar-benar menjaga sayap berkenaan.
“Jumlah ahli MT juga perlu diubah. Mungkin semuanya dipilih dan tiada yang dilantik lagi,” katanya kepada Berita Minggu.
Bagaimanapun, katanya, cadangan itu perlu dikaji untuk memastikan kesesuaiannya supaya ia dapat membawa Umno ke arah pembaharuan dan parti terus relevan untuk 50 tahun akan datang.
Beliau berkata, Umno kini perlukan pembaharuan bagi memenuhi kehendak dan kepentingan akar umbi dan rakyat bukan hanya memenuhi hasrat pemimpin dalam parti saja.
Idris yang pertama kali dicalonkan sebagai ahli MT berkata, selain pengstrukturan semula kepemimpinan Umno, ada enam perkara utama lain yang perlukan pembaharuan termasuk sistem sedia ada dalam parti, strategi, skil atau kemahiran ahli dan pemimpin, gaya kepemimpinan, staf dan perkongsian nilai.
Katanya, sistem pemilihan dalam Umno juga perlu diubah bagi membentuk budaya sihat dalam parti dengan pemilihan tidak lagi pada peringkat pusat sebaliknya pertandingan jawatan Presiden, Naib Presiden, MT, Ketua Wanita, Ketua Pemuda dan Puteri dilakukan pada peringkat bahagian dan dilakukan seperti pilihan raya umum.
“Sistem termasuk dalam urusan pentadbiran dan pengurusan, pengukuran sokongan ahli dan rakyat, begitu juga dengan usul yang dibangkitkan di cawangan dan bahagian juga perlu didengari pada peringkat negeri dan ibu pejabat Umno,” katanya.
Idris berkata, strategi Umno perlu diberikan elemen baru, manakala ciri sedia ada diperkenalkan pemimpin terdahulu dikekalkan.
“Kini, strategi Umno lebih menumpukan usaha menambah cawangan tetapi tidak menggerakkan cawangan. Contoh paling jelas adalah kekalahan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Kuala Terengganu. Bahagian Kuala Terengganu pernah dianugerahkan Bahagian teramai ahli iaitu 50,000 orang dan jika semua ahli Umno menyokong calon BN bermakna, kita sudah boleh menang, tetapi sebaliknya berlaku.
Sumber- Berita Harian
Filed under: Uncategorized | 2 Comments »